Chong mesti belajar bezakan fakta

KUCHING: Chong Chieng Jen mesti belajar bagaimana membezakan antara Sarawak yang terpaksa bersetuju dengan keputusan yang dibuat Kerajaan Persekutuan, kata Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof. Beliau menambah,

Kementerian Kewangan telah memetik satu angka untuk menggambarkan jumlah simpanan yang bakal diperolehi apabila menamatkan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak. Justeru katanya, kedua-dua fakta tersebut jauh berbeza.

“Memang benar Setiausaha Kerajaan Sarawak menandatangani dengan Kerajaan Persekutuan untuk menamatkan perjanjian PDP projek ini. “Tetapi, apakah pilihan kita ada apabila diberi pilihan antara menandatangani perjanjian penamatan dan tidak menerima apa-apa dana yang telah dipersetujui untuk projek diteruskan?

“Situasi ini sama seperti yang pernah dialami oleh Kerajaan Sarawak berhubung dengan pembayaran pendahuluan RM1 bilion secara berperingkat kepada Kerajaan Persekutuan untuk projek bina semula sekolah daif,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Fadillah menegaskan, Pengerusi PH Sarawak itu tidak sepatutnya keliru dengan situasi tersebut dengan kenyataan mengelirukan daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Katanya, Guan Eng menyatakan pembatalan perjanjian PDP akan menjimatkan kos pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sebanyak RM3.1 bilion iaitu daripada RM21.9 bilion kepada RM18.8 bilion.

“Seperti yang disahkan oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian di parlimen pada 26 Mac tahun lalu, kos projek yang disasarkan pada asalnya ialah RM16.48 bilion. “Bagaimanapun, PDP dapat mengurangkan kos tersebut kepada RM15.13 bilion menerusi pengoptimuman kos dan penjimatan kecekapan, sementara masih mengekalkan tarikh siap projek asal pada akhir 2021,” tegasnya.

Beliau juga menjelaskan, sehingga pembatalan PDP, tidak pernah ada tuduhan bahawa mereka lambat dalam menyiapkan projek atau telah melebihi anggaran. “Jadi bagaimanakah kos baharu yang diumumkan sebanyak RM18.8 bilion dianggap sebagai pengurangan RM3.1 bilion daripada kos sebelumnya sebanyak RM15.13 bilion? “Sebaliknya, ia adalah peningkatan kos RM3.67 bilion,” kata Fadillah yang juga bekas Menteri Kerja Raya.

Suara Sarawak