KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Sarawak, Chong Chieng Jen, memohon maaf kerana tidak dapat mencapai harapan rakyat ketika Pakatan Harapan (PH) dan DAP memerintah selama 22 bulan dahulu.
Chong mengakui bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang baru melabuhkan tirai baru-baru ini dan pengundian berpecah adalah disebabkan sentimen umum yang mengecewakan dalam kalangan pengundi di kebanyakan kawasan pilihan raya DAP.
“Sentimen sedemikian adalah kerana DAP dan Pakatan Harapan, sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan pusat, tidak berjaya menyamai harapan rakyat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya mula melaksanakan banyak pembaharuan dalam sistem kerajaan dan memperkenalkan banyak tadbir urus yang baik dan langkah mesra rakyat ketika menjadi kerajaan, mereka masih gagal menjangkau harapan rakyat.
“Jadi, kepada mereka yang terus menyokong DAP, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan dan keyakinan berterusan yang anda berikan kepada kami.
” Kepada mereka yang telah mengundi DAP pada 2018 untuk membawa pertukaran kerajaan tetapi pada Pilihan Raya Negeri kali ini memutuskan untuk tidak terus menyokong DAP kerana kami tidak memenuhi jangkaan anda, kami ingin memohon maaf kerana tidak mencapai jangkaan tersebut,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, walaupun di seluruh negeri jumlah keluar mengundi yang dicatatkan ialah 60.67 peratus, peratusan keluar mengundi bagi pengundi Cina adalah rendah.
Katanya, di pusat pengundian bandar yang majoritinya pengundi Cina, peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah dalam lingkungan 40 ke 45 peratus.
“Bagi pusat mengundi yang majoriti pengundinya adalah bumiputera atau anak negeri, kadar keluar mengundi adalah dalam lingkungan 65 ke 70 peratus.
Pengundi tentera dan polis mencatatkan lebih 75 peratus, peratusan keluar mengundi,” ujarnya.
Jelasnya lagi, corak pengundian sedemikian berlaku di seluruh negeri yang mana keinginan untuk mengundi dalam kalangan pengundi Cina adalah sangat rendah.
“Hal ini bertentangan dengan Pilihan Raya Umum 2018 yang mana peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina adalah lebih daripada 65 peratus.
“Peratusan keluar mengundi yang rendah dan perpecahan undi dalam kalangan pengundi bandar Cina dalam pilihan raya ini jelas kelihatan.
Apapun, kita terima dan hormati keputusan pengundi,” ujarnya.



