Dalam dunia perfileman yang semakin bergantung pada teknologi digital untuk mencipta sesuatu yang sukar dilakukan dalam dunia nyata, Christopher Nolan memilih pendekatan sebaliknya.
Bagi pengarah itu, jika sesuatu boleh dibina, dirakam dan dilaksanakan di hadapan kamera, mengapa perlu menyerahkannya sepenuhnya kepada komputer?
The Odyssey mungkin sebuah kisah yang berusia hampir 3,000 tahun, tetapi di tangan Nolan, epik karya Homer itu diberi nafas baharu melalui teknologi perfileman yang mungkin paling bercita-cita tinggi pernah digunakannya.
Kisahnya mengikuti Odysseus, Raja Ithaca yang dilakonkan oleh Matt Damon, dalam perjalanan panjang untuk kembali kepada keluarganya selepas Perang Trojan.
Perjalanan pulang itu sepatutnya mudah, tetapi berubah menjadi pengembaraan bertahun-tahun yang mempertemukan Odysseus dengan peperangan, makhluk mitos, godaan, kehilangan serta persoalan tentang pertentangan manusia dengan takdir.
Turut membintangi filem ini ialah barisan pelakon ternama termasuk Tom Holland, Anne Hathaway, Robert Pattinson, Lupita Nyong’o, Zendaya dan Charlize Theron.
Namun, perkara paling menarik tentang The Odyssey bukan sahaja siapa yang berada di hadapan kamera, tetapi juga kamera itu sendiri.
Buat pertama kali dalam sejarah filem cereka, keseluruhan The Odyssey dirakam sepenuhnya menggunakan kamera filem IMAX.
Bukan sekadar beberapa babak aksi atau adegan tertentu seperti dalam filem terdahulu Nolan, tetapi keseluruhan filem.
Bagi merealisasikan perkara itu, IMAX membangunkan teknologi kamera generasi baharu, termasuk kamera yang dikenali sebagai Keighley.
Antara cabaran utama kamera IMAX selama ini ialah bunyi operasinya yang kuat sehingga menyukarkan rakaman adegan dialog yang lebih intim.
Teknologi baharu itu membolehkan Nolan menggunakan format IMAX dengan lebih dekat pada wajah pelakon, bukan sekadar untuk merakam panorama atau adegan berskala besar.
Hasilnya cukup luar biasa dari segi teknikal. Sepanjang 91 hari penggambaran, lebih daripada dua juta kaki filem digunakan — melebihi 600 kilometer jika dibentangkan dari satu hujung ke hujung yang lain.
Namun, Nolan tidak berhenti setakat penggunaan kamera.
The Odyssey membawa pendekatan kesan praktikal ke tahap yang lebih ekstrem.
Ketika Hollywood semakin selesa mencipta dunia menggunakan skrin hijau dan imejan janaan komputer (CGI), Nolan memilih untuk menggunakan sebanyak mungkin lokasi sebenar serta kesan yang boleh dirakam secara langsung melalui kamera.
Penggambaran berlangsung di beberapa negara termasuk Greece, Itali, Maghribi, Scotland dan Iceland.
Laut yang dipaparkan ialah laut sebenar, manakala pantai, istana dan landskap yang menjadi latar perjalanan Odysseus juga sebahagian besarnya menggunakan lokasi sebenar.
Malah, produksi membina kuda Trojan sebenar dan set kota Troy berskala besar bagi mewujudkan dunia yang boleh disentuh dan dialami secara fizikal oleh para pelakon.
Komitmen terhadap penggunaan lokasi sebenar turut menuntut pengorbanan fizikal.
Di sebuah lokasi istana di Itali, laluan yang sempit menyebabkan kenderaan tidak dapat sampai ke lokasi penggambaran.
Sebahagian besar pelakon dan kru bersama-sama Nolan terpaksa mendaki selama kirakira 45 minit setiap hari untuk tiba di lokasi.
Nolan sendiri pernah menceritakan bagaimana Tom Holland mendahuluinya dengan pantas ketika pendakian tersebut.
Peralatan pula terpaksa dibawa menggunakan kereta api funikular dan helikopter.
Di sinilah kita dapat memahami mengapa The Odyssey terasa sangat mencerminkan gaya Nolan.
Nolan bukan sekadar mahu para pelakon berlakon seolaholah sedang melalui sebuah pengembaraan.
Dalam kerangka keselamatan produksi moden, beliau mahu mereka benar-benar merasai angin, air, batu, pasir, ketinggian serta cabaran lokasi sebenar.
Pendekatan itu tidak bermaksud teknologi digital langsung tidak mempunyai peranan dalam pembikinan filem moden.
Sebaliknya, Nolan menjadikan kesan praktikal dan rakaman dalam kamera sebagai asas kepada gambaran yang ingin diciptanya.
Tom Holland sendiri pernah mengakui terdapat beberapa babak yang disangkanya dihasilkan menggunakan kesan komputer, sebelum diberitahu oleh Nolan bahawa kesan tersebut sebenarnya dihasilkan secara langsung melalui kamera.
Nolan menggunakan antara teknologi kamera paling maju di dunia untuk membawa pawagam kembali kepada asasnya — manusia sebenar di lokasi sebenar, melakukan sesuatu di hadapan kamera sebenar.
Selepas Oppenheimer, Dunkirk, Interstellar dan trilogi The Dark Knight, Nolan sebenarnya tidak perlu lagi membuktikan beliau mampu menghasilkan filem berskala besar.
Namun, The Odyssey memperlihatkan sesuatu yang lebih daripada sekadar keupayaan Nolan menghasilkan filem berskala besar.
Ketika hampir segala-galanya hari ini boleh dicipta dengan bantuan komputer, Nolan masih memilih untuk melakukannya secara nyata apabila keadaan mengizinkan — membina set, berada di lokasi sebenar dan merakam sebanyak mungkin terus melalui kamera.
Mungkin di situlah daya tarikan sebenar The Odyssey. Ia bukan sekadar kisah perjalanan Odysseus pulang ke Ithaca, tetapi juga menggambarkan cara Nolan kembali kepada asas pembikinan filem — pelakon, lokasi, cahaya dan kamera.
Cuma kali ini, semuanya dirakam dalam skala IMAX.



