ARTIKEL

AMAI mempersembahkan tarian ngajat pada sambutan Krismas tahun lalu.

Cinta bapa tanpa syarat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lalu, saya bersama-sama dua rakan sepejabat menemani seorang kenalan kami makan malam di sebuah kedai makan berdekatan pejabat.

Semasa makan malam, kami berbual sambil bertanya khabar masing-masing. Sedang rancak berbual, tiba-tiba dia memberitahu kami bahawa dia akan pencen wajib tidak lama lagi daripada UNIMAS. 

Maksudnya, tujuh bulan lagi dia tidak lagi bekerja di institusi pengajian tinggi di Kota Samarahan itu.

Tahun depan, dia tidak perlu lagi pergi bekerja bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari. Saya bertanya kepadanya; “Apa rancangan selepas bersara?” 

Menurutnya, dia mahu berehat kira-kira tiga bulan. Selepas itu, dia merancang untuk pergi melancong ke negara Asia Tengah seperti Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan, Kazakhstan, Kyrgtzstan, Pakistan dan Afghanistan. 

Tambahan pula, melancong adalah salah satu hobinya. Selepas bersara wajib, dia juga merancang untuk membuat kerja sambilan dengan mengambil projek membuat video.

Katanya, meskipun usianya hampir mencecah 60 tahun, dia mahu aktif secara fizikal, mental dan sosial untuk mengekalkan fungsi tubuh, mengelakkan kemerosotan otot dan mencegah masalah kesihatan mental.

Sebagai warga emas, dia akan memastikan setiap harinya nanti terisi dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat untuk membantu mengekalkan kecerdasan mental termasuk mencegah masalah demensia.

Mendengar rancangannya selepas pencen, saya boleh simpulkan yang kenalan kami ini sudah membuat persediaan. Dia juga kelihatan tidak sabar untuk melakukan semua aktiviti yang dia tidak sempat lakukan ekoran kekangan kerjanya sebelum ini. Selain itu, semua anaknya sudah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri. 

Sebagai seorang bapa dan suami yang selama ini bekerja menyara keluarga, saya yakin kenalan kami ini sangat menanti waktu rehatnya. 

Mendengar perkongsiannya, saya teringat dengan amai (bapa) yang kini ketika ini berada di kampung. Amai sudah beberapa tahun meninggalkan alam pekerjaan. Dahulu, ketika mencecah umur pencen, syarikat tempat amai bekerja pernah menawarnya untuk menyambung kontrak. 

Namun amai menolak kerana dia ingin menghabiskan masa tuanya bersama-sama keluarga. Kata amai, sepanjang hidupnya, banyak masanya hanya bekerja dan tinggal jauh daripada kami. Oleh itu, kali ini dia mahu memberi masa berkualiti di samping keluarga.

Kini amai ‘bekerja’ di kampung sesuai dengan usia tuanya. Berkebun, menjala ikan, memburu, menebang pokok, bertukang, membaiki pukat, membantu penduduk kampung dan sebagainya. Semua aktiviti kampung ini dilakukan oleh amai untuk mengekalkan tubuh badan sihat dan aktif.

Dahulu amai jarang berada di rumah sama ada untuk menemani tujuh anaknya mengulang kaji pelajaran, pergi ke hospital, bertemu dengan guru kelas dan sebagainya. Semua kerja mengurus rumah tangga ini digalas oleh enai (ibu). 

Amai mungkin jarang meluahkan rasa sayang melalui kata-kata atau berada secara fizikal dengan kami, namun setiap titisan peluh dan langkahnya adalah bukti pengorbanan yang tiada nilainya untuk kesejahteraan keluarga.

Selama bertahun-tahun, amai bekerja keras menyara keluarga dan kini amai sudah pencen daripada tanggungjawab itu. Kerana pengorbanan tidak ternilai daripada seorang bapa, saya mempunyai kehidupan baik hari ini.

Lantaran itu, setiap pagi, saya tidak pernah terlepas menghubungi amai. Saya akan membuat panggilan telefon atau video dengan amai untuk bertanya khabarnya. Panggilan telefon ini telah menjadi satu rutin harian kepada kami berdua jika amai berada di bandar.

Dan semalam, saya menghubungi amai. Kami berdua berbual panjang seperti biasa. Ketika berbual dengannya, saya dapati amai yang dulunya kelihatan kuat kini sudah jauh berbeza dari segi rupa fizikal. 

Ya, kadangkala saya lupa bahawa kudratnya tidak sekuat dulu. Kulit wajahnya kini penuh dengan garisan tua, muka berkedut, rambut hitam kini sudah beruban dan tompok hitam penuaan jelas kelihatan di tangannya. 

Oleh itu, apabila saya bandingkan kehidupan amai atau kenalan saya, kedua-duanya telah membanting tulang, meredah cabaran hidup dan mengetepikan kepentingan diri sendiri demi memastikan keluarga tercinta mendapat kehidupan yang sempurna.

Maka, tidak lewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua orang yang menggalas tugas sebagai seorang bapa. Meskipun Hari Bapa sudah berlalu, ia mengingatkan kita bahawa bapa memainkan peranan besar dalam kehidupan anak.

Setiap hari kita boleh raikan Hari Bapa. Justeru, hargailah pengorbanan seorang bapa. Buatlah sesuatu yang menyenangkan hatinya dengan meluangkan masa berkualiti bersama-samanya. Pengorbanan seorang ayah adalah lambang cinta tanpa syarat. 

 Terima perubahan fizikal dan emosinya dengan hati yang terbuka. Menghargai masa tua seorang bapa adalah tanggungjawab yang sangat mulia bagi seorang anak. Berikan perhatian yang tulus sementara dia masih ada. 

Khas untuk bapa saya yang kini berada di kampung, harep iko mudip tiga ngen Tuhan pemung ngen iko sa’lu.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

BERITA TERBARU