
KARYA: EIZA NASHWA
Sebuah kereta mewah berhenti di hadapan sebuah gerai makan.
Seorang pemuda berpakaian kemas keluar dari perut kereta.
Wajahnya berseri-seri sambil menguntum senyuman di bibir.
Dia mengambil tempat duduk kosong di barisan tengah.
Matanya melingas ke kanan dan ke kiri.
Suasana kampung yang hening dan damai menyingkap kembali memori lima tahun yang lalu.
“Aku tak akan terima kau jadi menantu,” bidas Ngah Leman dengan nada tinggi.
“Saya berniat ikhlas pak cik,” balas Uzair bersungguh-sungguh.
“Aku dah ada pilihan untuk Zara, lupakan dia,” ujar Ngah Leman sambil berlalu pergi.
Awan berarak lesu seolah-olah mengerti perasaannya saat itu.
Benang kerisauan mula membelit dirinya.
Mana mungkin dia dapat melupakan buah hatinya yang sudah dikenali sejak alam persekolahan.
Meskipun bukan anak orang berada, Uzair seorang yang optimis dan rajin berusaha.
Namun, Ngah Leman tidak mempercayai dirinya.
Zara anak tungggal dalam keluarganya. Dia ditatang bagai minyak yang penuh.
“Mungkin tidak sepadan denganku,” getus hatinya.
Mukanya berkerut bagai cermai masam. Hatinya tidak
keruan. Tidur malam tidak lena. Fikirannya buntu mengenang nasib diri.
“Usah fikir lagi, kamu teruskan usaha menanam cili. Tidak rugi berbudi pada tanah,” ucap ibu memujuk hati anak terunanya.
“Baiklah ibu, Uzair teruskan impian gemulah ayah,” jawabnya akur.
Dalam diam-diam dia menanam semangat. Tubuhnya memercik keringat.
Uzair membersihkan kawasan belakang rumah yang hanya sekangkang kera. Tapi hatinya puas.
Dia sanggup berhenti kerja kilang demi mengubah nasibnya.
Selang beberapa bulan kemudian, Uzair menerima kad undangan berona jingga.
Darah mudanya menggelegak. Seksanya menjadi insan yang terpinggir. Saban hari dia memupuk kesabaran di hati.
“Selagi hidup perjuangan tidak akan tamat,” bisik hatinya.
Hari demi hari, tanaman cilinya semakin subur. Berkat kesungguhan, tanaman cilinya mendapat permintaan ramai.
Tauke Ah Seng menjadi peraih cili-cilinya. Sebahagian besar cili dipasarkan ke luar daerah.
Senyuman ibu tidak lekang di bibir. Harapan gemulah ayah telah menjadi kenyataan.
Uzair menunaikan janji walaupun hatinya disapa lara.
“Tahniah Uzair, kamu dah berjaya sekarang,” sapa Ngah Leman ketika terserempak di pasar.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan nikmat-Nya,”
“Maafkan pak cik atas kesilapan dulu,” ada getar pada nada suaranya menahan sebak.
“Tidak mengapa pak cik, lupakan saja kisah lama,” jelas tidak ada riak dendam di wajahnya.
Biarpun, dia mendengar khabar angin, Zara sudah bergelar ibu tunggal.
Uzair tidak mahu mengingati kisah lalu. Kesabaran dan ketabahan membuahkan nikmat di kemudian hari.
Tiba-tiba awan lamunannya sirna. Dari jauh kelihatan
kelibat rakan kongsinya berjalan beriringan bersama-sama seorang wanita.
Gadis manis berkebaya merah itu berdiri di hadapannya.
“Kenalkan, Cik Zara Leya, dia akan menjadi peraih bekalan cili merah di kawasan ini,” jelas Razif tanpa berselindung.
Mereka bertentang mata. ‘Mungkinkah nostalgia akan kembali bertaut?’ dia bermonolog. Rempah kisah semalam masih menarik dijamah kerana cinta masih sepijar cili merah.



