SARIKEI: Katering warisan keluarga menjadi sumber rezeki utama buat Tazulliah Baloi, 48, yang kini menguruskan Jul Rahman Katering secara serius selepas bersara awal.
Menurutnya, keluarga mereka sememangnya aktif dalam industri katering sejak sekian lama, malah tujuh beradik itu mewarisi minat yang sama.
“Tiga daripada kami benar-benar minat katering… ada yang beroperasi di Kuching, manakala saya dan abang mengusahakannya di Sarikei,” katanya.
Tazulliah mula terlibat secara aktif dalam perniagaan katering sekitar 2018 sebagai usaha menampung keperluan keluarga.
Bagaimanapun, pelibatannya dalam dunia perniagaan bukanlah baharu kerana dia sudah lebih 20 tahun bergiat dalam pelbagai bidang keusahawanan.
Sebelum menceburi katering, dia pernah mengusahakan butik pakaian serta beberapa cabang perniagaan yang lain.
Kini, Tazulliah memberi sepenuh perhatian dengan Jul Rahman Katering yang diusahakan dari rumah bersama-sama suaminya, Julaihi Johari, 67.
Katanya, pengetahuan asas katering dipelajari dari rumah, namun dia turut mengikuti beberapa kursus berkaitan sebagai nilai tambah.
“Saya amat menitikberatkan kualiti makanan demi kepuasan pelanggan.
Justeru, selalunya persiapan dibuat lebih awal sebelum menerima tempahan,” ujarnya.
Baginya, bidang katering memiliki cabaran tersendiri dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.
Walaupun operasi perniagaan dijalankan dari rumah, sambutannya tetap menggalakkan dan para pelanggan berpuas hati dengan cita rasa masakannya.
Tazulliah turut menegaskan bahawa disiplin menjadi tunjang kejayaan dan nilai itu sentiasa diterapkan agar perniagaan tersebut dapat diwarisi serta diteruskan oleh generasi akan datang.
“Bidang katering memerlukan ketahanan, komitmen dan keikhlasan kerana kita menyediakan makanan untuk dinikmati oleh pelanggan.
“Kebersihan menjadi aspek utama demi memperoleh rezeki yang berkat. Selagi semua perkara ini dijaga dengan baik, saya yakin usaha ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.



