KUCHING: Projek Clinker Line 2 di Pelan Integrasi Mambong di sini dijangka meningkatkan pengeluaran simen Sarawak sekali gus menjamin bekalan bahan binaan bagi menyokong pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata, projek bernilai RM673 juta itu dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2027 dan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran klinker daripada 900,000 tan metrik kepada 1.9 juta tan metrik setahun.

“Peningkatan kapasiti ini membolehkan kami memenuhi keperluan simen Sarawak secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh kedudukan Cahya Mata Sarawak sebagai peneraju dalam ekosistem industri simen negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Clinker Line 2 di Pelan Integrasi Mambong yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Sulaiman berkata, projek berkenaan turut dilengkapi teknologi terkini termasuk sistem pemulihan haba buangan yang mampu menjana kira-kira enam megawatt (MW) tenaga bersih, selain penggunaan bahan mentah dan bahan api alternatif daripada sumber tempatan bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida.
Menurutnya, sistem penapisan habuk yang lebih canggih turut dipasang bagi memastikan tahap pelepasan habuk berada jauh di bawah had yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Sejak 1974, Kumpulan Cahya Mata Sarawak telah melabur kira-kira RM2 bilion dalam keseluruhan ekosistem perniagaan simen merangkumi pengeluaran simen, klinker, konkrit serta rangkaian logistik,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, kementerian dan agensi berkaitan, para pemegang taruh serta kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) atas sokongan dan komitmen berterusan terhadap kejayaan projek berkenaan.
Sulaiman berkata, Cahya Mata Sarawak akan terus komited menyokong agenda pembangunan Sarawak sejajar dengan keyakinan terhadap kestabilan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
“Sebagai sebuah syarikat korporat Sarawak, kami akan terus memainkan peranan dalam memastikan pembangunan infrastruktur, bekalan air, elektrik dan kemudahan perdagangan dapat dinikmati hingga ke kawasan luar bandar,” jelasnya.
Projek ini dikendalikan oleh Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kepada Tianjin Cement Industry Design & Research Institute dari China, yang dilantik sebagai kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek berkenaan.
Cahya Mata Sarawak telah beroperasi di Sarawak sejak 1974 dan kini mengendalikan tiga loji pengisaran simen di Kuching dan Bintulu, selain terminal pengedaran di Sibu dan Miri.



