BINTULU: Sebanyak 300 unit struktur terumbu tiruan atau reef ball yang ditempatkan di perairan Balingian-Tatau pada 2024 menjadi antara usaha penting Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam memulihkan ekosistem marin serta menyediakan habitat tambahan untuk hidupan laut di kawasan berkenaan.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, penempatan struktur berkenaan sebahagian daripada pelaksanaan projek COREEFS (Coral Reef and Reef Ball for Ecosystem Enhancement and Stewardship) yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan serta pemulihan ekosistem marin di perairan Bintulu.

Beliau berkata, projek kerjasama antara SFC dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) itu dilaksanakan sejak 2023 dengan menggabungkan pendekatan pemulihan habitat, pemantauan biodiversiti marin serta pendidikan dan kesedaran masyarakat bagi memastikan kelestarian ekosistem laut dipelihara secara berterusan.
Menurutnya, usaha pemuliharaan tidak boleh bergantung kepada tindakan pemulihan fizikal di laut semata-mata, sebaliknya perlu disokong penglibatan masyarakat yang memahami kepentingan melindungi biodiversiti marin.
“Pemuliharaan memerlukan pengetahuan, tetapi pengetahuan itu perlu disertai sikap bertanggungjawab dan tindakan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program STEM Fair Pemuliharaan Marin Bersama Sekolah-Sekolah Menengah di Bintulu di bawah Projek COREEFS di Paragon Bintulu, di sini, pada Sabtu.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Wan Sufian Wan Mustapha, hadir menyempurnakan majlis penutupan program berkenaan.
Abang Arabi berkata, penganjuran program berkenaan menjadi sebahagian daripada pendekatan SFC untuk memperluas pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem marin, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, platform berkenaan turut menghubungkan usaha pemuliharaan dengan pembelajaran, kreativiti dan inovasi menerusi pelbagai aktiviti yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Antara pengisian utama ialah Pertandingan STEM Hackathon yang memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah mengaplikasikan pengetahuan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi meneroka idea serta menghasilkan penyelesaian kreatif terhadap cabaran pemuliharaan marin.
Selain itu, Kuiz Konservasi Marin, Pertandingan Mewarna dan pameran interaktif turut diadakan bagi memperkenalkan ekosistem marin kepada murid sekolah rendah menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih menarik dan mudah difahami.
Pameran berkaitan terumbu karang, penyu, dugong, mamalia marin dan rumput laut turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepelbagaian hidupan marin serta peranan setiap komponen dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Beliau berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, penerokaan dan aktiviti praktikal mampu membantu pelajar memahami isu pemuliharaan dengan lebih mendalam, sekali gus menggalakkan mereka berfikir secara kreatif dalam mencari penyelesaian terhadap masalah alam sekitar.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan muda supaya tidak takut mencuba idea baharu kerana proses mencuba, menilai dan memperbaiki sesuatu idea ialah sebahagian penting dalam pembelajaran serta inovasi.
Abang Arabi turut menzahirkan penghargaan kepada BPA, TEGAS, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan semua rakan strategik atas kerjasama menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap projek COREEFS dan penganjuran STEM Fair dapat terus menjadi platform yang menghubungkan pendidikan, sains dan pemuliharaan, sekali gus membentuk generasi muda yang lebih prihatin serta bertanggungjawab terhadap masa depan khazanah marin Sarawak.



