KUCHING: Penglibatan golongan profesional muda daripada pelbagai bidang dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpotensi memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalaman bagi memastikan pentadbiran kerajaan sentiasa berpandukan prinsip serta penanda aras yang ditetapkan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, golongan berkenaan mampu memainkan peranan penting dalam menegur kelemahan pentadbiran jika kerajaan gagal mencapai tahap prestasi yang diharapkan dalam bidang tertentu.
Menurutnya, profesional muda yang diketengahkan GPS mempunyai etika kerja dan prinsip tersendiri yang membolehkan mereka menyuarakan pandangan serta teguran terhadap sebarang kelemahan dalam pentadbiran negeri.
“Mereka boleh memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang sekiranya kerajaan gagal menunjukkan prestasi yang sepatutnya dalam bidang tertentu kerana penanda aras telah ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pembukaan Klinik Kitak di Gala City, di sini, hari ini.
Asfia berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat GPS untuk bertanding di kesemua 82 kerusi DUN pada PRU Sarawak ke-13 serta kesannya terhadap fungsi semak dan imbang jika gabungan itu memenangi semua kerusi berkenaan.
Beliau berkata, penanda aras berkenaan penting bagi memastikan usaha meningkatkan kedudukan ekonomi Sarawak, menangani kos sara hidup dan memperbaiki taraf kehidupan rakyat terus diberikan perhatian.
Katanya, golongan profesional muda juga boleh menyuarakan ketidakpuasan hati jika terdapat tindakan yang menyimpang daripada amalan dan prinsip yang diterima.
“Sekiranya terdapat percubaan untuk menyimpang atau melangkaui batas amalan yang diterima, golongan profesional muda ini boleh menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap GPS.
“Mereka juga boleh bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang dalaman,” katanya.
Menurutnya, GPS tidak bertanggungjawab menyerahkan kerusi kepada parti lawan semata-mata bagi mewujudkan semak dan imbang, sebaliknya keputusan memilih wakil rakyat terletak pada pengundi.
Sehubungan itu, beliau berpandangan penglibatan profesional muda dalam GPS turut berpotensi memperkukuh fungsi semak dan imbang dari dalam, khususnya bagi memastikan pentadbiran negeri terus memenuhi penanda aras yang telah ditetapkan.




