BINTULU: Kongres Pertanian Mampan dan Keterjaminan Makanan (COSAFS2026) menjadi platform penting menghimpunkan penyelidik, pembuat dasar, pemain industri, usahawan dan pelajar dari dalam serta luar negara bagi mencari penyelesaian inovatif cabaran keterjaminan makanan global.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penganjuran kongres berkenaan bertepatan dengan keperluan semasa dunia yang berdepan cabaran kompleks termasuk perubahan iklim, pertumbuhan penduduk, kekangan sumber serta gangguan sistem makanan.
Menurut beliau, COSAFS2026 menyediakan ruang strategik untuk perkongsian ilmu, pertukaran amalan terbaik serta membina jaringan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh sistem makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Perbincangan yang berlangsung sepanjang kongres ini bukan sahaja akan memajukan pengetahuan saintifik, malah menyumbang kepada pembangunan dasar lebih baik, industri lebih kukuh serta sistem makanan yang lebih berdaya tahan untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian COSAFS2026 oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Rundi, pelibatan peserta antarabangsa dalam COSAFS2026 mencerminkan komitmen bersama komuniti global dalam menangani isu keterjaminan makanan menerusi sains, inovasi dan kerjasama rentas negara.
Beliau berkata usaha memastikan bekalan makanan mencukupi dan mampan memerlukan pendekatan bersepadu yang menghubungkan penyelidikan akademik dengan keperluan sebenar industri serta masyarakat.
Justeru, institusi pengajian tinggi seperti UPM memainkan peranan penting dalam menghasilkan penyelidikan dan teknologi baharu yang boleh diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal bagi meningkatkan produktiviti pertanian serta memperkukuh rantaian nilai makanan.
Dalam konteks Sarawak, beliau berkata kerajaan negeri terus memberi penekanan dalam pemodenan sektor agromakanan melalui penggunaan teknologi, inovasi, pengkomersialan dan amalan pertanian mampan bagi menyokong aspirasi menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Beliau turut menekankan kepentingan inisiatif seperti AgriHub serta pembangunan kepakaran melalui Sekolah Sains Veterinar dan Haiwan (SVAS) dalam memperkukuh produktiviti pertanian, kesihatan ternakan, keselamatan makanan dan biosekuriti negeri.



