Covid-19: Dua kematian, 219 kes baharu di Sarawak

KUCHING: Sarawak hari ini kembali merekodkan peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 219 kes dan dua kematian baharu di Sibu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan keseluruhan kes positif di negeri ini meningkat kepada 5,676 kes manakala 50 kes kematian dicatatkan.

“Daripada jumlah tersebut, daerah Sibu terus melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 55 kes diikuti Song (50), Beluru (35), Miri (32), Kapit (25), Samarahan (5), Kanowit (5), Bintulu (4), Bukit Mabong (3), Betong (1), Kuching (1), Lundu (1), Saratok (1) dan Subis (1),” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Covid-19, hari ini.

Mengulas mengenai dua kematian baharu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kematian ke-49 merupakan kes ke-4,527 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 92 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 30 Januari lalu kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.

“Kes telah dikesan positif pada 31 Januari lalu malah keadaan kesihatan kes merosot dan telah disahkan meninggal dunia semalam pada jam 9.49 malam.

“Kes juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan penyakit paru-paru kronik (COPD),” katanya.

Tambah beliau, kes kematian ke-50 merupakan kes ke-2,422 iaitu seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 73 tahun yang telah dirujuk ke Hospital Sibu kerana dikesan positif Covid-19 melalui hasil saringan bergejala daripada sebuah pusat jagaan.

“Kes ini mengalami gejala demam bermula 17 Januari lalu dan ujian-rt PCR dibuat mendapati kes positif pada 19 Januari lalu.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan telah disahkan meninggal dunia semalam pada jam 10.21 malam. Kes juga mempunyai ko-morbid penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok,” tambahnya.

Sementara itu, beliau mendedahkan bahawa terdapat 134 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini iaitu 79 kes dari Hospital Sibu, Hospital Miri (24), Hospital Bintulu (11), PKRC di bawah Hospital Kapit (9), Hospital Umum Sarawak (6), PKRC di bawah Hospital Limbang (4) dan PKRC Sipitang, Sabah (1).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 3,734 orang atau 65.79 peratus,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Uggah mendedahkan bahawa seramai 249 PUI baharu telah dilaporkan dan 36 PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.