Covid-19: Kampung Binyu Batu dikenakan PKPD

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Binyu Batu, Samarahan mulai hari ini sehingga 17 April.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kampung berkenaan dilaksanakan PKPD setelah penilaian risiko berikutan kenaikan kes secara mendadak dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes disyaki Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Daerah Sarikei telah bertukar dari
jingga ke merah setelah merekodkan 65 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Merah telah meningkat kepada 11,” kata Uggah.

Tambahnya, Daerah Marudi telah bertukar dari kuning kepada jingga setelah merekodkan 23 kes jangkitan tempatan pada hari ini.

Uggah turut memberitahu, Daerah Lawas telah bertukar dari hijau kepada kuning setelah merekodkan dua kes jangkitan tempatan pada hari ini manakala tujuh daerah lain kekal hijau.

Suara Sarawak