Covid-19: Kuching kembali zon merah, satu kluster baharu di Kapit

KUCHING: Daerah Kuching hari ini kembali bertukar status kepada merah setelah merekodkan sejumlah 43 kes jangkitan
tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, ini menjadikan keseluruhan 12 daerah berstatus merah di negeri ini

“Daerah lain yang kekal zon merah adalah Samarahan, Julau, Subis, Beluru, Kapit, Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Miri dan Sibu dengan sejumlah 2161 kes tempatan dalam tempoh yang sama.

“Sementara Lundu dan Sri Aman kekal berstatus jingga, manakala Bau, Matu, Selangau, Betong, Saratok, Sarikei, Sebauh, Lawas, Bukit Mabong, Tatau, Pakan, Serian, Belaga, dan Meradong kekal berstatus kuning,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah JPBNS, daerah yang kekal sebagai zon hijau adalah Daro, Simunjan, Lubok Antu, Telang Usan, Asajaya, Limbang, Tanjung Manis, Tebedu, Mukah, Pusa, Kabong dan Marudi.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBNS menyatakan satu kluster baharu diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Jan Yong di Kapit.

“Ia merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Yong, Kapit dengan indeks adalah kes ke-7,043 iaitu wanita tempatan berumur 21 tahun.

“Kes dikesan melalui saringan individu melalui pengesanan kes secara aktif oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit serta mempunyai sejarah mengunjungi kawasan berisiko  tinggi jangkitan Covid-19 di Sibu,” jelas JPBNS.

Tambah JPBNS, setakat jam 12 tengah hari ini, sejumlah 46 individu telah disaring dengan 15 daripadanya positif, 28 negatif, tiga masih menunggu keputusan dan tiada kematian dicatatkan.

“Kesemua 15 kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kapit bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” kata JPBNS.