KUALA LUMPUR: Berikut adalah senarai penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini.
1. Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor menafikan dakwaan pernah melantik Yayasan Amal Malaysia untuk membuat kutipan derma.
2. Hospital Beaufort, Sabah menafikan dakwaan pernah melantik mana-mana individu untuk mengutip sumbangan kerana kononnya hospital berkenaan kekurangan peralatan seperti ‘medical isolation gown’ sehingga petugas barisan hadapan terpaksa menggunakan ‘raincoat’ biru sebagai pakaian alternatif semasa bertugas.
3. Pihak J&T Express menafikan dakwaan tentang pembatalan penghantaran barangan ke kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah COVID-19.
4. KKM menafikan pernah mengeluarkan kebenaran kepada mana-mana syarikat menjual kit ujian pantas COVID-19 sambil mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap jualan kit tersebut di laman sosial dengan mendapatkan maklumat lanjut daripada KKM.
5. Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur menafikan dakwaan tentang satu kematian di Sentul Boulevard adalah disebabkan COVID-19 walhal ia diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut.– BERNAMA





