PETALING JAYA: Rumah mampu milik perlu menjamin keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penghuni tanpa mengorbankan kualiti semata-mata untuk menawarkan harga lebih rendah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan rakyat memiliki kediaman berkualiti yang memenuhi keperluan kehidupan, khususnya keluarga muda.

Menurutnya, konsep perumahan mampu milik bukan sekadar menawarkan harga pembelian rendah, tetapi turut merangkumi persekitaran kejiranan yang selamat, kemudahan awam dan ruang interaksi sosial.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama penutup Kongres Perancangan Kebangsaan Ke-11 Tahun 2026 bertemakan Kepimpinan untuk Bandar Lebih Baik: Tanggungjawab Bersama Kita di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kemampuan memiliki rumah tidak seharusnya dinilai berdasarkan harga jualan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan kos sara hidup penghuni.
Kediaman berharga rendah belum tentu benar-benar mampu dimiliki sekiranya terletak jauh dari tempat kerja, sekolah, kemudahan kesihatan dan pengangkutan awam.
Justeru, perancangan perumahan perlu mengutamakan lokasi strategik serta kemudahan asas mencukupi bagi mengelakkan penduduk menanggung kos perjalanan dan perbelanjaan harian yang tinggi.
“Dalam konteks Sarawak, Tabung Amanah Sumbangan Perumahan Sarawak merupakan antara mekanisme dasar bagi memperkukuh tanggungjawab bersama dalam penyediaan rumah mampu milik,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan perumahan perlu diselaraskan dengan sistem pengangkutan awam, saliran dan bekalan utiliti yang mencukupi bagi memastikan kawasan kediaman berfungsi dengan baik dalam jangka panjang.






