SELANGOR: Sebanyak 1.64 tan sisa buangan berjaya dikutip menerusi program pembersihan pantai anjuran Wasco Greenergy Berhad di Pantai Jeram, Selangor dan Pantai Kampung Jepak, Bintulu.
Inisiatif itu membabitkan 65 kakitangan syarikat berkenaan yang mengumpulkan keseluruhan 1,641.5 kilogram sampah, selain menyumbang 235 jam sukarelawan bagi memelihara kebersihan kawasan pesisir pantai dan ekosistem marin.

Daripada jumlah itu, sebanyak 641.5 kilogram sampah dikutip di Pantai Jeram menerusi pelibatan 50 kakitangan, manakala kira-kira satu tan lagi dikumpulkan di Pantai Kampung Jepak dengan penyertaan 15 kakitangan.
Pengarah Urusan Kumpulan Wasco Greenergy, Wong Yin Kee, berkata usaha pemuliharaan alam sekitar memerlukan tindakan praktikal dan komitmen berterusan, khususnya dalam menangani kesan aktiviti manusia terhadap alam semula jadi.
Beliau berkata pencemaran kawasan pesisir pantai mencerminkan kesan aktiviti harian manusia terhadap alam sekitar, sekali gus menuntut tanggungjawab bersama untuk menanganinya.
“Di Wasco Greenergy, kami percaya kelestarian perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui cara kami menjalankan perniagaan, tetapi juga menerusi tindakan setiap individu dan usaha kolektif sebagai sebuah organisasi,” katanya.
Di Pantai Jeram, program itu dilaksanakan dengan kerjasama MY Clean Beach, membabitkan kerja pembersihan sepanjang satu kilometer selama tiga setengah jam walaupun berdepan hujan berterusan.
Sisa yang dikutip merangkumi plastik, bungkusan makanan, kaca, kertas, logam dan pelbagai bahan buangan lain sebelum diasingkan, ditimbang serta dihantar ke pusat kitar semula untuk pengurusan sewajarnya.
Sementara itu, aktiviti di Pantai Kampung Jepak berlangsung selama empat jam dan membabitkan 15 kakitangan yang menyumbang 60 jam sukarelawan.
Selain mengurangkan sampah di kawasan pantai, kedua-dua inisiatif itu turut memberi peluang kepada kakitangan terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, di samping memupuk semangat kerja berpasukan dan tanggungjawab individu.
Inisiatif berkenaan meneruskan usaha kelestarian alam sekitar kumpulan itu yang sebelum ini melaksanakan program penanaman anak pokok bakau di Bagan Lalang, Selangor, pada 2025 dengan penyertaan 40 kakitangan.
Dalam tempoh sama, kakitangan Wasco Greenergy turut menyumbang 648 jam sukarelawan, manakala kumpulan itu memperuntukkan RM61,459 bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif komuniti yang memberi manfaat kepada 602 penerima.
Wasco Greenergy turut menyasarkan impak biodiversiti bersih positif menerusi sokongan terhadap usaha perlindungan dan pemulihan ekosistem semula jadi, selain menggalakkan amalan mesra alam dalam kalangan kakitangan di tempat kerja dan luar organisasi.
Usaha itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 12, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.






