ARTIKEL

Rumah Bandar Baharu Sebuyau ditawar RM150,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBUYAU: Penduduk berpeluang memiliki rumah pada harga RM150,000 seunit menerusi Projek Pembangunan Perumahan Bandar Baharu Sebuyau, iaitu separuh daripada kos sebenar pembinaan sebanyak RM300,000.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Sri Julaihi Narawi berkata, harga bersubsidi itu merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan yang berdepan kekangan untuk memiliki kediaman sendiri.

Pembeli yang memenuhi syarat kelayakan turut berpeluang menerima bantuan deposit sebanyak RM10,000 bagi memudahkan urusan pembelian rumah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau tapak projek berkenaan, di sini, hari ini.

Projek yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) itu melibatkan 235 unit rumah di kawasan seluas 41 ekar, dengan fasa pertama merangkumi pembinaan 100 unit.

Julaihi berkata, tiga jenis kediaman ditawarkan, iaitu Sapphire 1 berkeluasan 871.82 kaki persegi, Sapphire 2 (1,162.5 kaki persegi) dan Sapphire 3 (1,356 kaki persegi).

Sebanyak 30 unit rumah disasarkan siap menjelang April 2027, manakala keseluruhan 100 unit bagi fasa pertama dijangka siap pada penghujung tahun sama.

Menurutnya, lokasi projek di sepanjang jalan pesisir pantai antara Jambatan Batang Sadong dengan Jambatan Batang Lupar memberikan kelebihan dari segi akses dan jaringan perhubungan kepada penduduk.

Kawasan itu turut berhampiran beberapa kemudahan termasuk Masjid Daerah Sebuyau, Masjid Al-Muflihin serta projek pembangunan kerajaan yang dijangka merancakkan pertumbuhan Bandar Baharu Sebuyau.

Dalam perkembangan berkaitan, Julaihi turut mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Sungai Ladong yang melibatkan pembangunan 77 lot kediaman di kawasan seluas 8.29 hektar atau 20.49 ekar.

Beliau turut menerima taklimat daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mengenai status pelaksanaan projek, penyediaan infrastruktur serta perancangan pembangunan penempatan berkenaan.

Setiap lot kediaman berukuran 15 meter kali 27 meter, manakala pelan pembangunan turut merangkumi rizab jalan, rizab kerajaan seluas kira-kira 1.2 ekar serta kawasan untuk tujuan keagamaan.

Pembangunan SPK Sungai Ladong turut melibatkan pembinaan pencawang elektrik dan kolam takungan terbuka seluas kira-kira 1.5 ekar bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik serta sistem saliran kawasan perumahan.

Projek itu menerima kelulusan SPA pada 10 Oktober 2023, diikuti kelulusan Jabatan Tanah dan Survei pada 31 Mac 2026. Kerja penyediaan infrastruktur serta kawasan lot kediaman kini sedang dilaksanakan.

Pelaksanaan kedua-dua projek itu dijangka memperluas peluang pemilikan rumah dan menyediakan penempatan lebih terancang kepada penduduk setempat, sekali gus menyokong pertumbuhan Sebuyau sebagai kawasan pembangunan baharu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Pembangunan bandar perlu utamakan kesejahteraan rakyat

PETALING JAYA: Pembangunan bandar tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu mengutamakan perumahan mampu milik, pengangkutan awam cekap serta kesejahteraan rakyat.

GPS belum muktamadkan calon GPS

PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih belum memuktamadkan senarai calon yang bakal mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Sarawak ke-13. Pengerusinya yang juga