PETALING JAYA: Pembangunan bandar tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu mengutamakan perumahan mampu milik, pengangkutan awam cekap serta kesejahteraan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan bersepadu, tadbir urus berkesan dan pembangunan berpaksikan rakyat menjadi asas penting dalam mewujudkan bandar mampan yang berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.

“Pembangunan bandar memerlukan penyelarasan rapi antara pihak berkuasa tempatan, agensi perancang, penyedia pengangkutan dan badan pengawal selia alam sekitar bagi memastikan setiap dasar dilaksanakan secara menyeluruh.
“Justeru, bandar yang lebih baik bergantung kepada institusi yang mampu menterjemahkan dasar kepada keputusan konsisten, telus dan diselaraskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama penutup Kongres Perancangan Kebangsaan Ke-11 Tahun 2026 bertemakan Kepimpinan untuk Bandar Lebih Baik: Tanggungjawab Bersama Kita di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Kelemahan penyelarasan antara agensi menyebabkan pembangunan perumahan dilaksanakan tanpa kemudahan pengangkutan awam mencukupi, sistem perparitan dan utiliti memadai serta hubungan berkesan dengan komuniti sekitar.
Sehubungan itu, faktor perubahan iklim perlu diambil kira dalam perancangan bandar, termasuk pembangunan sistem pengangkutan rendah karbon, bangunan cekap tenaga dan perlindungan ekosistem semula jadi.
“Projek Transit Aliran Automasi (ART) berkuasa hidrogen di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) merupakan contoh komitmen Sarawak menyediakan pengangkutan awam lebih bersih dan meningkatkan kesalinghubungan bandar.
“Usaha memelihara hutan, tanah lembap dan kawasan gambut turut memainkan peranan penting dalam penyimpanan karbon, perlindungan biodiversiti serta meningkatkan daya tahan negeri terhadap kesan perubahan iklim,” katanya.
Menyentuh pembangunan bandar masa depan, beliau berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI), sistem maklumat geografi dan analisis data bandar mampu meningkatkan kecekapan perancangan guna tanah, pengurusan infrastruktur serta penilaian risiko iklim.
Bagaimanapun, teknologi berkenaan perlu digunakan secara bertanggungjawab supaya pembangunan bandar benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
Dalam aspek perumahan, Abang Johari berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan rakyat mampu memiliki kediaman berkualiti yang mempunyai akses kepada peluang pekerjaan, pengangkutan awam, sekolah dan kemudahan kesihatan.
“Tabung Amanah Sumbangan Perumahan Sarawak merupakan antara mekanisme untuk memperkukuh tanggungjawab bersama dalam penyediaan rumah mampu milik.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Sarawak menyediakan subsidi sehingga RM12,000 bagi pemasangan sistem tenaga solar di bumbung kediaman bagi membantu isi rumah menjana tenaga elektrik sendiri dan mengurangkan perbelanjaan bulanan.
“Langkah ini memastikan manfaat peralihan kepada tenaga hijau turut dinikmati rakyat biasa dan bukan hanya tertumpu kepada sektor industri serta pelabur,” jelasnya.
Beliau turut merujuk cadangan Dasar Pembangunan Bandar Sarawak 2050 sebagai panduan jangka panjang bagi merancang pertumbuhan bandar dan petempatan secara lebih tersusun.
“Tiada satu institusi yang mampu membangunkan bandar lebih baik secara bersendirian,” katanya sambil menekankan tanggungjawab bersama kerajaan, pihak berkuasa tempatan, perancang bandar, pemaju dan masyarakat.
Tegasnya, kejayaan pembangunan bandar perlu diukur berdasarkan peningkatan nyata dalam kehidupan rakyat, termasuk kemampuan memiliki rumah, masa perjalanan lebih singkat, kejiranan lebih selamat dan perkhidmatan awam berkualiti.






