PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengekalkan 12 waktu pengajaran seminggu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).
KPM berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan pihak berkepentingan yang dikemukakan menerusi sesi libat urus berhubung peruntukan waktu pengajaran bahasa dalam kurikulum baharu berkenaan.
Peruntukan itu melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
KPM turut merakamkan penghargaan atas segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan sepanjang sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Kementerian itu menegaskan penguasaan bahasa serta keperluan pembelajaran murid di semua aliran sekolah kekal menjadi keutamaan dalam usaha memperbaharui kurikulum pendidikan negara.






