Covid-19 : Seorang lagi meninggal dunia

KUCHING: Seorang lagi pesakit Covid-19 di negeri ini meninggal dunia hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata mangsa adalah pensyarah berusia 40 tahun dari Kota Samarahan.

“Ini adalah kes kematian Covid-19 kelapan di negeri ini,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Sementara, Dr Sim berkata dua kematian terakhir yang dilaporkan semalam melibatkan lelaki berusia 47 tahun di Kuching dan wanita berusia 41 tahun di Miri, masih disiasat.

Mengenai jumlah kes positif Covid-19, beliau berkata 21 kes positif dicatatkan hari ini dengan 20 orang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan seorang lagi di Hospital Sibu.

“Ini menjadikan jumlah kes positif kepada 156,” katanya.

Dr Sim menambah, negeri ini turut mencatatkan 46 kes baharu dalam kes siasatan (PUI).

Katanya setakat semalam, 93 pesakit masih berada di pelbagai hospital, di mana sembilan orang ditempatkan di unit penjagaan intensif dengan lapan di HUS dan seorang di Hospital Sibu.

“Setakat ini, 14 pesakit telah dibenarkan keluar iaitu sembilan dari HUS, empat dari Hospital Sibu dan seorang dari Hospital Miri,” katanya.

Suara Sarawak