Covid-19: Status Daerah Lundu, Bau masing-masing bertukar kuning dan merah

KUCHING: Daerah Lundu telah bertukar ke status kuning setelah merekodkan dua kes baharu jangkitan tempatan pada hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Daerah Bau pula telah bertukar kepada status merah setelah mencatatkan sejumlah 41 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Daerah Selangau, Betong, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal berstatus merah dengan sejumlah 2,688 kes jangkitan tempatan dilaporkan di lapan buah daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Manakala daerah Samarahan, Kanowit, Sarikei, Serian, Julau, Subis, Dalat dan Sri Aman juga kekal berstatus jingga dengan jumlah keseluruhan 228 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Sehubungan itu, daerah Bukit Mabong, Tatau, Marudi, Mukah, Pusa, Song, Asajaya, Beluru, Saratok dan Sebauh kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan 64 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas. Manakala 12 daerah lain kekal berstatus hijau.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan setakat 6 Mac lalu, jumlah keseluruhan yang telah diberikan suntikan vaksin adalah sebanyak 16,488 sejak program imunisasi bermula pada 26 Februari 2021.

Suara Sarawak