Covid-19: Tiga kluster baharu, empat kluster tamat

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan tiga kluster baharu akibat Covid-19 di Sarawak hari ini iaitu Kluster Sungai Tengah, Bau, Kluster Sungai Sebemban, Bintulu dan Kluster Sebujok, Sri Aman.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Kluster Sungai Tengah, Bau merupakan kluster komuniti yang melibatkan sebuah kampung di Sungai Tengah, Jalan Matang, Bau.

“Indeks kes kepada kluster ini adalah kes positif ke-27,630 iaitu seorang wanita rakyat Sarawak berumur 55 tahun dari kampung tersebut yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan individu bergejala pada 24 April lalu di Hospital Bau.

“Kes merupakan seorang suri rumah yang telah menghadiri majlis sembahyang untuk saudara yang telah meninggal dunia di kampung tersebut daripada 19 hingga 21 April.

“Perebakan jangkitan dipercayai berpunca daripada upacara pengebumian dan seterusnya telah merebak kepada ahli keluarga dan komuniti setempat di kampung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

JPBN menambah, Kluster Sungai Sebemban, Bintulu adalah kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Sungai Sebemban, Jalan Pesisir Kuala Tatau, Bintulu.

“Indek kes kepada kluster ini iaitu kes positif ke-28,019 yang merupakan seorang perempuan rakyat Sarawak berumur 68 tahun yang dikesan melalui saringan pra-perubatan di Bintulu pada 25 April lalu.

“Kes dikesan selepas dirujuk oleh sebuah klinik kesihatan swasta di Bintulu kerana mengalami lemah seluruh badan dan tiada selera makan,” jelasnya.

Bagi Kluster Sebujok, Sri Aman pula, JPBN mendedahkan ia merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan dua buah rumah panjang di Sebujok dan Kaong Ili Skrang, Engkilili, Sri Aman.

“Indek kes kepada kluster ini iaitu kes ke- 26,750 yang merupakan seorang perempuan rakyat Sarawak berumur 62 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Hospital Betong pada 23 April lalu,” ujarnya.

Sementara itu, JPBN memaklumkan empat kluster diisytiharkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Tanjung, Bintulu, Kluster Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, Kluster Jalan Merpati, Miri dan Kluster Rajang, Tanjung Manis selepas tiada kes baharu dikesan melibatkan kluster itu dalam tempoh 28 hari yang lepas.

Bagaimanapun, JPBN memberitahu jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 78 kluster iaitu sebanyak 19 kluster telah merekodkan 219 penambahan kes baharu, manakala 59 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Suara Sarawak