ARTIKEL

CSSU juara Futsal SGH, tewaskan Dental menerusi penalti 5-4

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pasukan Unit Pensterilan (CSSU) muncul juara Pertandingan Futsal Hospital Umum Sarawak (SGH) selepas menewaskan Dental SGH 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti berikutan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi final di Kompleks Sukan Sentosa, semalam.

Kejayaan itu membolehkan CSSU membawa pulang hadiah wang tunai RM600 berserta piala dan pingat, manakala Dental SGH muncul naib juara dan Pead SGH menduduki tempat ketiga.

Pengurus Pasukan CSSU, Awang Hamizan Awang Hamdan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kerjasama dan semangat juang pemain yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan.

JUARA… Pasukan CSSU meraikan kejuaraan Pertandingan Futsal SGH 2026 di Kompleks Sukan Sentosa, semalam.

“Pertandingan ini mempamerkan semangat kesukanan semua pasukan yang memberikan saingan yang baik sepanjang kejohanan.

“Malah, saya cukup berpuas hati dengan semua pemain kerana mereka berjaya melaksanakan perancangan yang ditetapkan dan memberikan yang terbaik, sekali gus membawa pulang piala kejuaraan,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

CSSU memastikan kejuaraan menjadi milik mereka selepas Awangku Fazrin menyempurnakan sepakan penalti kemenangan dalam aksi final yang sengit.

Pada peringkat Kumpulan B, CSSU membuka saingan dengan menewaskan ETD SGH 4-0, sebelum bermain seri 2-2 dengan Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Serian dan menundukkan PKB Kuching 6-2 untuk muncul juara kumpulan.

Rentak cemerlang itu diteruskan pada suku akhir apabila CSSU menewaskan Lubok Antu 5-0 untuk mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, CSSU terpaksa bekerja keras menentang Pead SGH sebelum menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Kejayaan mengharungi dua penentuan sepakan penalti berturut-turut pada separuh akhir dan final membuktikan ketenangan pemain CSSU ketika menghadapi tekanan dalam perlawanan penting.

Sebanyak 16 pasukan menyertai pertandingan itu anjuran Unit Pengurusan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), dengan setiap kumpulan menampilkan empat pasukan.

Daripada jumlah itu, 11 pasukan mewakili pelbagai unit SGH, manakala lima lagi ialah pasukan jemputan daripada Sri Aman, Lubok Antu, Kota Sentosa, PKB Kuching dan PKB Serian.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke suku akhir sebelum pemenang meneruskan saingan ke separuh akhir dan final bagi menentukan juara keseluruhan.

Sementara itu, majlis penyampaian hadiah dijadual berlangsung pada majlis makan malam Persatuan PPK pada 14 November ini di sebuah hotel di sini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU