ARTIKEL

Cuaca Ekstrem Jejas 13 Juta Penduduk, Ragut Lebih 3,000 Nyawa Di Afrika Pada 2025 – Laporan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ADDIS ABABA (Ethiopia): Cuaca ekstrem dan kejadian berkaitan iklim menjejaskan sekurang-kurangnya 13 juta penduduk serta mengakibatkan lebih 3,000 kematian di seluruh Afrika pada 2025, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), lapor Xinhua.

Dalam laporannya yang bertajuk “State of the Climate in Africa 2025”, yang dikeluarkan pada Khamis, organisasi itu menyatakan kejadian cuaca ekstrem telah menjejaskan semua sektor ekonomi dan masyarakat di benua itu, sekali gus menyebabkan peningkatan paras banjir dan aras laut, selain penyusutan glasier termasuk di Gunung Kilimanjaro yang ikonik.

Menurut laporan itu, benua Afrika mengalami pemanasan pada kadar yang lebih pantas berbanding purata global. Glasier di Afrika telah kehilangan lebih 90 peratus daripada keluasan asalnya sejak penghujung abad ke-19. Di Gunung Kilimanjaro, keluasan glasier menyusut daripada 11.4 kilometer persegi pada 1900 kepada kurang daripada satu kilometer persegi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Aras laut meningkat di sepanjang pesisir pantai Afrika dari 1999 hingga 2025, melebihi purata global sebanyak 3.6 milimeter setahun di beberapa wilayah. Banjir menyumbang lebih separuh daripada kejadian yang dilaporkan, termasuk banjir besar di Nigeria yang meragut lebih 200 nyawa serta banjir di Republik Demokratik Congo yang mengorbankan lebih 160 orang masing-masing pada Mei dan April tahun lalu, menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan bahawa benua berkenaan berdepan jurang kritikal dalam sistem amaran awal, dengan hanya 40 peratus negara Afrika memiliki sistem amaran awal pelbagai bahaya yang diperlukan bagi menyelamatkan nyawa dan melindungi sumber pendapatan penduduk.

Bagaimanapun, laporan itu turut menunjukkan wujud kerjasama yang menggalakkan antara perkhidmatan meteorologi, agensi pengurusan bencana dan pihak berkuasa tempatan dalam mempertingkatkan perkhidmatan iklim serta keupayaan tindak balas.

“Tanda-tanda perubahan iklim semakin jelas di seluruh Afrika, daripada peningkatan suhu dan kenaikan aras laut kepada banjir serta kemarau yang membawa kemusnahan. Laporan ini bukan sahaja menunjukkan skala risiko yang dihadapi, tetapi juga kepentingan yang semakin meningkat terhadap amaran awal, perkhidmatan iklim dan tindakan terselaras bagi melindungi nyawa serta mata pencarian,” menurut laporan itu yang memetik kenyataan Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo.
— BERNAMA-XINHUA

BERITA LAIN

Trump siarkan video lelaki maut akibat harimau

WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump memuat naik rakaman yang mengemparkan di akaun Truth Social beliau pada Selasa, memaparkan seorang lelaki di Britain yang maut dibaham

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU