BETONG: Tentera Darat Malaysia (TDM) menggerakkan anggota dan aset logistik bagi menghantar 648 kotak air mineral kepada penduduk di beberapa rumah panjang yang terjejas di kawasan pedalaman Betong, semalam.
Misi bantuan berkenaan dilaksanakan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, bermula 10.30 pagi hingga 5 petang.

Menurut kenyataan Divisyen Pertama Infantri Malaysia (MK 1 Div), agihan bekalan itu membabitkan 380 kotak kepada penduduk Rumah Panjang (Rh) Mading, Jambu Kerampak, Ulu Layar.
“Sebanyak 138 kotak pula dihantar ke Rh Rengga, Batu Pesok, Spak, manakala 130 kotak diagihkan kepada penduduk Rh Madi, Mutok Tabau, Layar,” kata kenyataan itu.
Bagi memastikan misi bantuan itu dapat dilaksanakan, TDM mengatur gerak kekuatan logistik membabitkan seorang pegawai dan 21 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Operasi berkenaan turut disokong dengan penggunaan sebuah kenderaan trak pikap Hilux dan sebuah trak muatan tiga tan untuk membawa bekalan air mineral ke kawasan yang terjejas.
Bagaimanapun kata kenyataan berkenaan, bantuan itu tidak terhenti setakat penghantaran yang dilaksanakan semalam apabila TDM turut merancang untuk meneruskan pengagihan bekalan air mineral kepada penduduk di rumah panjang kawasan pedalaman lain yang terjejas.
“Antara lokasi yang bakal menerima bantuan seterusnya ialah Rh Jarit, Temedak, Spak membabitkan 362 kotak, selain Rh Garamong, Merunjau, Padeh sebanyak 208 kotak,” tambah kenyataan itu.
Menurut MK 1 Div, kesemua anggota yang diatur gerak berada dalam keadaan sihat dari segi mental dan fizikal serta berupaya melaksanakan tugasan operasi secara optimum.




