SARIKEI: Usaha menjinakkan ‘sang bedal’ di Sungai Sarikei ternyata bukan tugas yang mudah.
Sejak Operasi Pemindahan Buaya dilancarkan lima hari lalu, hanya seekor buaya berjaya dipancing namun gagal diselamatkan.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, bangkai buaya berkenaan dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei sebelum diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini, hanya satu tangkapan direkodkan. Buaya tersebut bagaimanapun mati selepas terkena jerat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Shahrol berkata, operasi berdepan cabaran besar bukan sahaja dari segi ancaman serangan reptilia ganas itu, tetapi turut menguji ketahanan fizikal anggota penyelamat susulan cuaca panas yang melampau.
“Keadaan cuaca kering dan suhu tinggi menyukarkan pasukan untuk menunggu waktu air pasang, faktor penting bagi pemasangan perangkap di lokasi strategik operasi,” katanya.
Tambah beliau, operasi dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira aspek keselamatan dan keberkesanan, terutama apabila buaya liar kini dilaporkan semakin aktif di kawasan berhampiran penempatan penduduk.
Operasi turut dibantu oleh Anggota Sukarela Tugas Operasi (ASTO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), diketuai Paul Pawing @ Awing.
“APM memainkan dua peranan utama iaitu memberi bantuan penyelamatan sekiranya berlaku kecemasan serta menyediakan aset untuk pemindahan buaya,” katanya lagi.
Jelasnya, operasi itu dijangka diteruskan sehingga 7 Julai bagi memastikan keselamatan penduduk yang menggunakan sungai tersebut sebagai laluan utama harian mereka.


