SEBUYAU: Cuaca panas dan kering susulan fenomena El Nino menyebabkan penyusutan sumber air mentah di beberapa kawasan Sarawak, sekali gus menjejaskan operasi loji rawatan air.
Keadaan itu turut menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan tertentu, dengan bekalan kecemasan disediakan menerusi lori tangki dan air botol bagi penduduk terjejas.
“Sekarang kita berdepan keadaan panas dan kering akibat El Nino.
Ada sungai yang semakin surut dan ada yang hampir kering.
“Keadaan ini memberi kesan kepada sumber air mentah dan operasi loji rawatan air di kawasan tertentu,” kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Acute System Sebangan, Bahagian Samarahan di Loji Rawatan Air Sebangan, di sini, hari ini.
Julaihi berkata, antara kawasan yang berdepan penyusutan sumber air ialah Lingga, Spaoh dan Sungai Seblak berhampiran Saratok.
“Apabila berlaku gangguan, kita akan memastikan bekalan air kecemasan dapat disalurkan kepada penduduk melalui lori tangki.
“Bagi kawasan yang belum menerima bekalan daripada JBALB atau Sarawak Water, bekalan air botol turut disediakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pembenihan awan turut dilaksanakan bagi membantu meningkatkan sumber air apabila keadaan cuaca mengizinkan.
“Pembenihan awan boleh dilakukan apabila terdapat awan, tetapi jika tiada awan, kita tidak dapat menghasilkan hujan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sungai Seblak yang sebelum ini mengalami penyusutan kini kembali mengalir, membolehkan operasi loji rawatan air di kawasan berkenaan diteruskan.
“Alhamdulillah, Sungai Seblak kini kembali mengalir dan loji rawatan air dapat beroperasi selama 24 jam seperti biasa,” katanya.
Julaihi berkata, pemantauan sumber air mentah perlu diteruskan sepanjang tempoh cuaca panas dan kering bagi memastikan gangguan bekalan dapat ditangani dengan segera.
Beliau berkata, penyediaan sumber air alternatif serta bekalan kecemasan penting bagi mengurangkan kesan kepada penduduk sekiranya berlaku penyusutan sumber air atau gangguan operasi loji.





