KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana cuba mencuri dua gulung kabel elektrik milik sebuah syarikat kejuruteraan.
Mohamad Zainuddin, 42, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri kabel di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dia melakukan kesalahan itu di tapak pembinaan di Hospital Petra Jaya sekitar jam 4.30 pagi pada 19 Oktober lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu, iaitu seorang pengawal keselamatan, berjaya menahan seorang lelaki yang cuba mencuri kabel di tapak pembinaan hospital berkenaan.
Perbuatan tertuduh turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan pengadu sendiri menjadi saksi kejadian.
Tertuduh kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan. Barang milik tertuduh yang dirampas ialah sekotak mesin gerudi, sekeping mata pemotong besi dan dua gulung kabel elektrik.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




