KUCHING: Kegiatan tujuh warga asing yang dipercayai bekerja sepenuh masa dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbongkar apabila polis menyerbu sebuah kediaman di Jalan Datuk Tawi Sli di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia 33 hingga 44 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10.45 malam.
Menurutnya, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
“Sindiket ini beroperasi sebagai pusat panggilan yang menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud dan menyasarkan mangsa daripada negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan komputer, telefon bimbit serta peranti berkaitan yang dipercayai digunakan bagi kegiatan penipuan berkenaan.
Menurutnya, kesemua suspek dipercayai bekerja sepenuh masa dalam kegiatan tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan berkaitan pakat jahat jenayah.
“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Alexson turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kuching melalui talian 082-244444.





