ARTIKEL

Dua wanita direman lima hari, sindiket ganja guna aplikasi digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua wanita yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah selepas polis merampas 724 kartrij dipercayai mengandungi cecair ganja bernilai RM347,520.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek, masing-masing seorang wanita tempatan berusia 29 tahun dan seorang warga asing berusia 25 tahun, ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Wan Alwi di sini pada Selasa lalu.

Menurutnya, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 20 Oktober itu turut menyebabkan wang tunai RM5,087 dan SGD67 yang disyaki hasil kegiatan pengedaran dadah disita.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Ogos lalu dan menggunakan aplikasi komunikasi digital untuk berhubung dengan pembeli sebelum menghantar bekalan dadah di sekitar Kuching.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan aplikasi komunikasi digital untuk berhubung dengan pembeli dan bekalan dadah akan dihantar di sekitar kawasan Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek warga asing positif ketamin manakala suspek tempatan negatif dadah.

Alexson berkata, semakan rekod jenayah turut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua wanita direman selama lima hari bermula 22 hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” jelasnya.

Alexson berkata, kejayaan operasi itu hasil daripada risikan berterusan pihak polis dengan kerjasama orang awam dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah melalui talian hubungan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-208 7222 atau JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di 017-592 9211.

BERITA LAIN

Dakwah tanggungjawab bersama

ISLAM merupakan agama yang menyeru manusia ke arah kebaikan dan keredaan Allah SWT. Tanggungjawab menyebarkan ajaran Islam bukan terletak pada bahu para ustaz, pendakwah atau

BERITA TERBARU