ASAJAYA: Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata pembangunan kawasan luar bandar bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, malah merangkumi pembangunan modal insan, komuniti, wanita, belia dan kebajikan masyarakat.
“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dan Sarawak sejak sekian lama telah membawa perubahan kepada landskap pembangunan kawasan luar bandar, termasuk Asajaya dan Kota Samarahan.
“Kesinambungan perancangan pembangunan amat penting bagi memastikan masyarakat terus menikmati kemudahan asas serta peluang meningkatkan taraf hidup.
“Pembangunan bukan sahaja berkaitan jalan raya, bekalan air, elektrik dan jambatan, tetapi turut melibatkan kesejahteraan masyarakat serta usaha memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS), serta lawatan tapak projek masjid Daerah Asajaya, di Dewan Tan Sri Datuk Amar Ikhwan Zaini, Pejabat Daerah Asajaya, di sini, hari ini.
Selain itu, Rubiah berkata, penubuhan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) oleh kerajaan Sarawak turut menjadi salah satu pendekatan untuk mempercepat pembangunan di kawasan luar bandar dan memastikan keperluan masyarakat diberi perhatian.
Katanya, perancangan pembangunan berskala besar di Asajaya termasuk Jalan Pesisir serta cadangan pembangunan lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam berpotensi membawa perubahan kepada kawasan itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembangunan berskala kecil yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat juga perlu diteruskan, termasuk bantuan perumahan bagi keluarga yang memerlukan kediaman lebih selesa dan selamat.
Menurutnya, kerajaan Sarawak turut mengambil inisiatif melalui PPRMS bagi membantu menangani banyaknya permohonan perumahan, selain program perumahan di bawah kerajaan Persekutuan.
Tambahnya, pelaksanaan bantuan perlu berasaskan kriteria yang ditetapkan, manakala pengesahan status tanah dan kelayakan penerima menjadi keutamaan bagi mengelakkan masalah selepas projek diluluskan.
Pada masa sama, Rubiah turut menekankan kepentingan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan projek pembangunan, termasuk projek kemudahan masyarakat secara gotong-royong, supaya perbelanjaan mematuhi spesifikasi dan dapat diaudit.
Tegasnya, kerjasama wakil rakyat, agensi kerajaan, ketua masyarakat, kontraktor dan penduduk amat penting untuk memastikan projek dilaksanakan dengan berkesan serta mengikut jadual.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya mengekalkan perpaduan dan saling membantu, sambil memahami bahawa pelaksanaan pembangunan memerlukan kesabaran, persefahaman dan kerjasama semua pihak.
“Kekuatan kita adalah perpaduan kita. Kita perlu terus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pembangunan di kawasan kita dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar,” ujarnya.





