ARTIKEL

Juara bawa pulang RM999, lapan pasukan bertarung di Sibu esok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan pemain tiga peringkat umur bakal menjadi ciri unik Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah 2026 apabila 112 pemain daripada lapan pasukan berentap di Padang Bola Sepak Lada, Sibu, bermula jam 7 pagi esok.

Kejohanan anjuran bersama Ragas Pengait FC dan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew itu menghimpunkan pasukan dari Sibu serta sekitar Zon Tengah Sarawak, dengan syarat penyertaan menggabungkan pemain senior dan veteran.

Penaung merangkap Penasihat Ragas Pengait FC, Ilham Lek, berkata pendekatan itu bertujuan menggalakkan kerjasama antara generasi pemain, selain memberi ruang kepada golongan veteran berkongsi pengalaman dan kemahiran di atas padang.

“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain daripada pelbagai latar belakang.

“Kita juga mahu memupuk semangat kesukanan, perpaduan dan kerjasama antara pemain senior dengan veteran menerusi sukan bola sepak,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurut Ilham, gabungan pemain daripada peringkat umur berbeza dalam satu pasukan diharap dapat mewujudkan persefahaman yang lebih baik, sekali gus memperkukuh hubungan persahabatan dalam komuniti bola sepak setempat.

Beliau berkata, penganjuran itu turut membuka peluang kepada bekas pemain dan golongan veteran untuk terus aktif bersukan, khususnya mereka yang pernah terlibat dalam pertandingan bola sepak sebelum ini.

“Kita berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menarik lebih ramai penyertaan, termasuk dalam kalangan pemain senior serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sibu dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Ilham berharap pertandingan itu dapat menjadi acara berterusan dalam kalendar sukan komuniti, sekali gus memperluas penyertaan pemain veteran di sekitar Zon Tengah Sarawak.

“Melalui pertandingan ini, kita mahu mengukuhkan jaringan persahabatan dan perpaduan antara generasi pemain, selain memastikan golongan veteran terus aktif dalam sukan bola sepak.

“Kerjasama antara pemain senior dan veteran juga diharap dapat menyemarakkan perkembangan bola sepak di peringkat komuniti,” katanya.

Setiap pasukan diwajibkan menurunkan dua pemain berusia 36 hingga 39 tahun, tiga pemain berusia 40 hingga 44 tahun serta empat pemain berusia 45 tahun ke atas sepanjang perlawanan.

Bagi edisi kali ini, juara bakal membawa pulang wang tunai RM999 berserta piala dan pingat, manakala naib juara menerima RM777 serta pingat.

Pasukan di tempat ketiga pula memperoleh RM555 berserta pingat, manakala anugerah Pemain Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik turut disediakan.

BERITA LAIN

Samarahan mahu bekalan gol selesa di Asajaya

Pasukan itu turun dengan misi memastikan kemenangan selain cuba mencetak lebihan gol sebagai bekalan menghadapi aksi timbal balik di gelanggang lawan pada 31 Oktober nanti.

BERITA TERBARU