KUCHING: Penyertaan Pontlam FC dari Indonesia bakal menambah saingan Piala RHB Empat Penjuru Edisi Pertama 2026 yang menghimpunkan 88 pemain daripada empat pasukan di Padang KDFA, di sini, malam esok.
Kejohanan yang menggunakan nama Razak Hashim Berhad (RHB) itu diharap dapat menjadi platform pertandingan berterusan kepada pasukan amatur, selain memperluas jaringan persahabatan bola sepak antara Kuching dan Indonesia.
Aksi yang berlangsung dari jam 7 hingga 11 malam itu turut menampilkan tiga pasukan sekitar Kuching, iaitu Rimberio FC, OGFC dan Mix FC, sekali gus membuka peluang pertembungan persahabatan merentas sempadan.

Pengerusi Pertandingan, Razak Hashim, berkata penganjuran sulung itu diadakan atas permintaan beberapa pasukan tempatan yang mahukan lebih banyak pertandingan kompetitif, selain mengeratkan hubungan persahabatan dalam kalangan pemain.
“Pertandingan ini dianjurkan atas permintaan pasukan sekitar Kuching yang mahu mendapatkan lebih banyak peluang bermain dan bersaing.
“Pada masa sama, kita mahu mengeratkan silaturahim serta memberi peluang kepada pemain membina hubungan persahabatan dengan pasukan lain,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurut Razak, kejohanan itu turut menjadi platform untuk mengenal pasti bakat baharu, khususnya dalam kalangan pemain dan pasukan yang baru aktif menyertai pertandingan bola sepak sekitar Kuching.
Beliau berharap pemain yang menyerlah dapat diketengahkan ke kejohanan lebih besar di Sarawak, termasuk Liga Premier Sarawak.
“Kita mahu melihat lebih banyak bakat baharu muncul melalui pertandingan seperti ini, sekali gus memberi pendedahan kepada pasukan yang sedang membina kekuatan.

“Harapan kita supaya pemain yang mempunyai potensi dapat melangkah lebih jauh dan bersaing dalam kejohanan lebih besar pada masa depan,” katanya.
Razak berkata Piala RHB Empat Penjuru dirancang sebagai pertandingan bulanan, dengan edisi kedua dijadual berlangsung pada 21 November, diikuti edisi ketiga pada Disember dan edisi keempat pada Januari 2027.
Kemuncak penganjuran pula dirancang pada Februari 2027 menerusi Piala Juara-Juara Empat Penjuru yang bakal menghimpunkan pasukan juara daripada empat edisi terdahulu.

Menurutnya, format berperingkat itu bertujuan mewujudkan kesinambungan pertandingan dan memberi peluang kepada pasukan untuk terus meningkatkan mutu permainan sepanjang musim.
Bagi edisi pertama, keempat-empat pasukan akan menerima piala dan pingat mengikut kedudukan masing-masing, manakala anugerah individu Pemain Terbaik serta Penjaga Gol Terbaik turut disediakan dalam bentuk piala.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM850 bagi setiap pasukan, manakala pendaftaran dan pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Razak di talian 017-8443081.





