KUCHING: Lapan lelaki warga asing dipercayai bekerja sepenuh masa dalam sindiket penipuan judi dalam talian palsu yang menyasarkan mangsa di negara jiran sebelum kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan polis di sebuah kediaman di Jalan Datuk Tawi Sli di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek berusia antara 19 dan 38 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2.47 pagi.
Menurutnya, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
“Hasil semakan dan analisis awal mendapati sindiket ini beroperasi sebagai pusat panggilan yang menjalankan kegiatan penipuan permainan judi dalam talian yang tidak wujud dan menyasarkan mangsa dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas peralatan komputer, telefon bimbit dan peranti berkaitan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan tersebut.
Katanya, hasil siasatan awal juga mendapati kesemua suspek dipercayai bekerja sepenuh masa dalam kegiatan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu dan 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan berkaitan pakat jahat jenayah.
“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini dan diperintahkan menjalani tahanan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Alexson turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kuching melalui talian 082-244444.





