ARTIKEL

Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dan FIFA.

JDT dikenakan levi RM5,400 kerana terlepas pandang notis FIFA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui kelemahan pengurusan dalaman selepas dikenakan levi pentadbiran sebanyak €1,122 (kira-kira RM5,400) kerana gagal melengkapkan proses pematuhan di bawah Peraturan Pusat Penjelasan FIFA (FIFA Clearing House) dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, siasatan dalaman mendapati surat-menyurat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terlepas pandang tanpa pengetahuan pengurusan tertinggi kelab.

“Kelab Bola Sepak JDT menerima levi yang dikenakan terhadap kelab berhubung arahan pembayaran di bawah Peraturan Clearing House FIFA.

“Pihak pengurusan tertinggi kelab tidak dimaklumkan perkara ini dan hasil siasatan dalaman yang dijalankan, kami mendapati bahawa surat-menyurat dengan FIFA berhubung perkara tersebut telah terlepas pandang,” katanya dalam kenyataan rasmi kelab malam tadi.

Menurut Garcia, JDT sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap kelemahan berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Beliau menegaskan, walaupun levi sebanyak 2.5 peratus itu dianggap kecil dari segi nilai kewangan, kelab tetap memandang serius kegagalan mematuhi prosedur pentadbiran badan induk bola sepak dunia.

“Walaupun levi sebanyak 2.5 peratus yang dikenakan mungkin dianggap sebagai jumlah yang kecil, JDT memandang serius perkara ini kerana sebarang urusan tidak seharusnya terlepas pandang.

“Kelab akan memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Isu berkenaan dikaitkan dengan urusan pampasan latihan berjumlah €44,878.68 (kira-kira RM215,000) kepada kelab pembangunan pemain muda susulan perpindahan Jorge Leonardo Obregon dan Joao Figueiredo.

JDT dilaporkan gagal melengkapkan penilaian pematuhan yang diwajibkan dalam tempoh ditetapkan, termasuk keperluan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram dan sekatan kewangan antarabangsa, selain tidak memberikan maklum balas terhadap notis FIFA.

Berdasarkan peraturan FIFA, Pusat Penjelasan FIFA berfungsi sebagai perantara pembayaran pampasan latihan dan sumbangan solidariti bagi memastikan kelab yang membangunkan pemain menerima bayaran sewajarnya apabila berlaku perpindahan atau pendaftaran profesional tertentu.

Peraturan itu turut memperuntukkan levi pentadbiran sebanyak 2.5 peratus terhadap jumlah berkaitan sekiranya kelab gagal memenuhi kewajipan pematuhan atau pembayaran mengikut prosedur yang ditetapkan.

Bagaimanapun, levi pentadbiran tersebut tidak dengan sendirinya membawa penggantungan daripada pertandingan dan tiada sekatan terhadap penyertaan JDT dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dinyatakan dalam maklumat kes yang dibekalkan.

JDT menegaskan komitmennya memperketat kawalan serta pemantauan urusan pentadbiran agar semua arahan dan surat-menyurat badan bola sepak antarabangsa diberikan perhatian sewajarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU