ARTIKEL

DUN Sarawak dijangka bubar 26 Oktober, PRN-13 mungkin 5, 12 atau 19 Disember

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jemputan ke sidang media khas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 3.30 petang ini menambah kuat spekulasi bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 bakal diumumkan, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.

Sidang media berkenaan dijadual berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, namun jemputan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Media dan Pemantauan Isu, Pejabat Premier Sarawak pagi ini tidak menyatakan perkara yang akan diumumkan.

Sumber sebelum ini mendakwa DUN Sarawak dijangka dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin, 26 Oktober, dengan Premier dijangka membuat pengumuman mengenai perkara itu pada petang Jumaat selepas menghadap Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mengikut proses perlembagaan, Premier perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri sebelum DUN boleh dibubarkan. Selepas pembubaran diperkenankan, Speaker DUN akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang kemudian bermesyuarat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.

Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.

Sekiranya pembubaran berkuat kuasa pada 26 Oktober, antara tarikh yang kini diperkatakan untuk PRN-13 ialah 5, 12 atau 19 Disember 2026.

PRN-13 juga dijangka masih memperebutkan 82 kerusi DUN, kerana proses kajian semula persempadanan bagi 17 kerusi baharu dijangka tidak dapat diselesaikan sebelum PRN itu. Penambahan tersebut sepatutnya meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99.

Pada PRN Ke-12 yang berlangsung 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. DUN ketika itu dibubarkan pada 3 November, penamaan calon pada 6 Disember dan hari mengundi pada 18 Disember.

Kini, semua perhatian tertumpu kepada sidang media khas Abang Johari petang ini untuk melihat sama ada teka-teki mengenai pembubaran DUN akhirnya terjawab dan Sarawak secara rasmi memasuki gelanggang PRN-13.

BERITA LAIN

Dakwah tanggungjawab bersama

ISLAM merupakan agama yang menyeru manusia ke arah kebaikan dan keredaan Allah SWT. Tanggungjawab menyebarkan ajaran Islam bukan terletak pada bahu para ustaz, pendakwah atau

BERITA TERBARU