MEXICO CITY: Grid elektrik Cuba terputus di seluruh pulau Caribbean itu, menurut syarikat penjana elektrik negara, UNE menerusi platform X pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kenyataan ringkas itu hanya memaklumkan bahawa gangguan berkenaan berlaku secara menyeluruh dan puncanya sedang disiasat.
Cuba kini berdepan krisis ekonomi dan tenaga yang serius, dengan gangguan bekalan elektrik berlaku setiap hari dan kadang-kala berlarutan selama beberapa jam.
Kerajaan sosialis negara itu menyalahkan krisis berkenaan atas sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Presiden AS Donald Trump mengenakan embargo minyak terhadap Cuba, ketika Washington meningkatkan tekanan supaya negara itu melonggarkan kawalan ekonomi dan melaksanakan perubahan politik selaras dengan pandangan AS.
Bekalan minyak Venezuela ke pulau itu terhenti selepas pasukan AS menahan Presiden Nicolás Maduro pada Januari dan membawanya ke New York untuk dibicarakan atas tuduhan berkaitan dadah.
Naib Presiden Delcy Rodríguez mengambil alih tugas beliau sepanjang ketiadaannya.
Kekurangan pelaburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan grid elektrik Cuba terus berdepan tekanan.
Sebahagian besar rangkaiannya berada dalam keadaan uzur, dengan stesen janakuasa berulang kali mengalami kerosakan sebelum dibaiki secara sementara. – BERNAMA-dpa



