ARTIKEL

RAMPAS… Dadah yang dirampas dalam satu serbuan di Teluk Melano, di sini, semalam.

Cubaan seludup dadah di Teluk Melano dipatahkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Cubaan menyeludup dadah ke negara jiran melalui laluan tidak sah berjaya dipatahkan apabila pihak polis menumpaskan satu rangkaian sindiket dalam satu serbuan di Teluk Melano, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram, berkata serbuan sekitar jam 9.50 pagi itu dilaksanakan hasil risikan berterusan oleh Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu.

“Operasi tersebut membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing tanpa dokumen perjalanan sah yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah,” katanya dalam kenyataan.

RAMPAS… Dadah yang dirampas dalam satu serbuan di Teluk Melano, di sini, semalam.

Tambah Sudirman, kedua-dua suspek berusia 25 dan 36 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah Perodua Kancil berwarna perak di Kilometer 23, Teluk Melano.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut, katanya, membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah dalam kuantiti besar yang disembunyikan di dalamnya.

“Antara rampasan termasuk 500 paket plastik mengandungi katrij vape disyaki cecair ganja seberat kira-kira 1,250 gram, 25 bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 25 kilogram, serta tiga lagi bungkusan plastik mengandungi bahan sama dengan anggaran berat tiga kilogram.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,575,000 dan dipercayai mampu menjejaskan lebih 140,000 individu sekiranya diedarkan di pasaran.

“Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui laluan haram atau jalan tikus di kawasan sempadan,” ujar beliau lagi.

Sudirman berkata saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Namun, katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 April 2026 bagi membantu siasatan lanjut.

Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga sedang giat memburu saki-baki ahli sindiket yang masih bebas,” katanya.

Beliau turut menegaskan kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama orang awam dan risikan berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah, khususnya di kawasan sempadan.

Polis Diraja Malaysia, ujar beliau lagi, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah.

Memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan ini merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.

“Dalam masa sama, JSJN kekal komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui talian hotline 012-208 7222,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan