LUNDU: Cubaan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya dipatahkan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching menerusi Ops Serkap di Jalan Lundu-Biawak semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, operasi yang dianggotai seramai 10 orang pegawai penguat kuasa itu menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Grandis disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa seramai enam penumpang warga asing selain seorang pemandu atau transporter yang juga merupakan warga asing.
“Kesemua individu ditahan disiasat di bawah Seksyen 26J, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” menurut kenyataan itu.
Kenderaan jenis Mitsubishi Grandis yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyeludupan turut disita untuk tindakan lanjut. — TVS



