TADIKA Nurul Iman menganjurkan program Pentas Si Cilik yang melibatkan penyertaan kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun bagi mengukuhkan kemahiran komunikasi, hafazan serta pembentukan sahsiah sejak usia awal.
Program berkenaan mempertandingkan tiga kategori utama, iaitu Bercerita, Hafazan Surah dan Hafazan Doa, yang disertai murid mengikut peringkat umur masing-masing.
Bagi kategori Bercerita, penyertaan dibuka kepada murid berumur enam tahun dengan peserta diberi kebebasan memilih cerita yang bersesuaian serta mempunyai unsur pengajaran.
Penilaian dibuat berdasarkan kejelasan penyampaian, tenaga persembahan serta tempoh penceritaan antara lima hingga tujuh minit.
Sementara itu, Hafazan Surah pula terbuka kepada murid lelaki dan perempuan berumur empat, lima dan enam tahun mengikut senarai surah yang ditetapkan oleh pihak tadika.
Murid enam tahun mempersembahkan hafazan surah al-Qariah dan al-Kafirun, manakala murid lima tahun menghafaz surah al-Quraisy dan al-Falaq.
Murid empat tahun pula memperdengarkan hafazan surah an-Nas dan surah al-Ikhlas.
Penilaian bagi kategori ini merangkumi aspek sebutan, tajwid asas serta kelancaran hafazan.
Selain itu, Hafazan Doa turut dipertandingkan untuk semua peringkat umur melibatkan doa-doa harian yang dipelajari di dalam kelas.
Aspek hafalan, sebutan dan keyakinan murid dijadikan kriteria utama penilaian.
Pihak tadika berharap penganjuran program ini dapat melahirkan murid yang berani tampil ke hadapan, berdisiplin serta mencintai ilmu agama sejak usia muda.
Ibu bapa turut diseru agar bekerjasama membantu anakanak membuat latihan di rumah bagi memastikan persembahan yang terbaik.
Pentas Si Cilik dilihat sebagai platform awal dalam mencorak perkembangan dan masa depan murid Tadika Nurul Iman.






