KUCHING: Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana bersubahat dengan seorang pekerja am mencuri 357 kotak minyak masak hingga menyebabkan syarikat mengalami kerugian lebih RM30,000.
Lai, 59, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Jessica Lee Suk Kiun.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 109 dan dibacakan bersama Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Dia didakwa bersubahat dengan Ronaldo, 27, yang merupakan pekerja am syarikat pengeluar dan pembekal minyak masak mencuri 250 kotak minyak masak lima kilogram dan 107 kotak minyak masak satu kilogram dengan nilai keseluruhan RM32,453.52.
Mereka melakukan perbuatan itu di sebuah kilang di Kompleks Perindustrian Assar Senari, Jalan Bako, sekitar 6.35 pagi, 29 Julai lepas.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan pekerja kilang melaporkan tentang kehilangan 357 kotak minyak masak yang hilang.
Laporan polis dibuat seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh di sebuah premis di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, kira-kira 11 pagi, Khamis lalu (30 Julai).
Hasil siasatan mendedahkan dia bersubahat dengan Ronaldo melakukan kecurian minyak terbabit.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan Ronaldo mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan yang kesemuanya di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia sebagai pekerja am di kilang terbabit melakukan kecurian minyak masak, gula dan marjerin pelbagai kuantiti dengan nilai keseluruhan RM463,964.32 dalam kejadian berasingan.
Ronaldo melakukan kesalahan terbabit antara 14 Mac hingga 29 Julai, sekitar 6.28 pagi, hingga 7 pagi di kilang syarikat pengeluar dan pembekal minyak di Jalan Bako.
Mahkamah membenarkan Ronaldo diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan yang masing-masing berpendapatan tidak kurang daripada RM2,000 sebulan.
Pasport tertuduh hendaklah diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri di Balai Polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Fauzulutfi Suriani dan DPP Nurul Aqila Morsalin.
Manakala, Lai tidak diwakili peguam dan Ronaldo diwakili Peguam Ralph Lee.



