KUCHING: Dalam menghadapi situasi kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tetap siap siaga walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dilanjutkan hingga 14 April depan.
Ketua Zon Kuching JBPM Sarawak Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya tetap menjalankan tugas dan bersiap sedia bagi memastikan pihaknya dapat bertindak apabila berlaku kecemasan. “Kami tidak seperti anggota kesihatan dan keselamatan yang berada jalan raya dan di pusat kesihatan.
“Namun kami berharap dalam tempoh PKP ini, tiada musibah dan insiden kebakaran berlaku yang boleh mengorbankan nyawa dan harta benda,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Pekema Sarawak di Balai Bomba Petra Jaya semalam.
Tambahnya lagi, kebanyakan cuti anggota bomba di Kuching telah dibekukan kecuali anggota yang perlu dikuarantin. “Atas sebeb cuti kuarantin, kita kecualikan mereka demi kesejahteraan dan keselamatan balai ini serta balai berhampiran,” katanya. Menerusi sumbangan Pekema ujarnya, ia sedikit sebanyak meringankan beban petugas di kawasan Balai Bomba Kuching.
“Walaupun tempoh PKP dilanjutkan, kita masih dapat mencari bekalan makanan untuk anggota kita dari pasar raya sekitar Kuching. “Tambahan pula arahan dari jabatan membenarkan kita memasak di kawasan balai ini,” ujarnya. Beliau berharap rakyat terus patuh dengan arahan pihak berkuasa untuk terus berada di dalam rumah.