KULIM: KDN meneliti cadangan memperketat kawalan di pangkalan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis, susulan penemuan dadah seberat 96.6 kilogram di sebuah pangkalan tentera udara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan dijangka dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.
Beliau menjelaskan langkah tersebut perlu kerana kawalan keselamatan ketika ini lebih tertumpu kepada pintu masuk rasmi negara.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menyatakan kemungkinan ada tangkapan susulan yang membabitkan anggota tentera dan orang awam, manakala sama ada kes ini berkaitan sindiket diserahkan kepada polis untuk disiasat seperti dilapor Bernama.
Selain itu, KDN dan Kementerian Pengangkutan telah mempertingkat kawalan di pintu keluar masuk negara, khususnya KLIA, termasuk pemeriksaan 100 peratus terhadap bagasi, penumpang dan destinasi yang dianggap popular dalam kalangan penyeludup.



