KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah rugi RM111,631.25 selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang disebarkan secara dalam talian.
Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, menjelaskan mangsa berusia 56 tahun itu terpandang iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat di Facebook.
Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa menghubungi suspek melalui WhatsApp untuk mendapatkan butiran cara dan syarat pelaburan.
Menurut Azli, mangsa memindahkan wang simpanannya sebanyak 16 kali ke enam akaun bank berbeza dari 15 Oktober hingga 16 November lalu.
Setelah membuat bayaran, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan dan gagal menghubungi suspek, lalu membuat laporan polis pada 11.30 pagi semalam, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



