Daftar pelajar secara pandu lalu

MUKAH: Politeknik Mukah Sarawak (PMU) memudahkan pelajar mendaftar masuk institut berkenaan dengan memperkenalkan pendaftaran secara pandu lalu.

Bagi pendaftaran ini, hanya dua orang pengiring dibenarkan bagi setiap seorang pelajar yang hadir. Difahamkan keadah pendaftaran pelajar baharu tersebut adalah bagi sesi Disember 2020 termasuk pendaftaran kemasukan bagi Mac 2021 iaitu pada 1 hingga 2 Mac yang lalu dan pelajar senior pada 4 hingga 5 Mac.

Pengarah PMU, Dullah Muluk berkata, inisiatif secara pandu lalu tersebut diterima baik oleh semua ibu bapa dan pelajar kerana ia sebagai langkah utama bagi memutuskan rantaian dan penularan Covid-19.

“Langkah daftar secara pandu lalu ini adalah yang pertama kali dilaksanakan. “Kaedah ini dilihat sangat berkesan kerana ia menjimatkan masa. Pelajar tidak perlu menunggu lama sebelum melapor diri di jabatan masing-masing.

“Ini juga mengelak ibu bapa dan pelajar bersesak semasa pendaftaran ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Katanya, PMU mematuhi sepenuhnya arahan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengenai kemasukan pelajar ke kampus.

“Saya menyeru kepada semua pelajar agar sentiasa mengamalkan dan meningkatkan amalan SOP kendiri demi keselamatan bersama,” tegasnya lagi.

Ujarnya, perkara yang penting kini warga PMU mesti mengambil langkah berjaga-jaga kerana pelajar dan ibu bapa yang hadir ke PMU datangnya dari pelbagai daerah.

“Semua calon pelajar dan pengiring akan disaring suhu badan bermula di pintu masuk PMU. “Semua calon pelajar dan pengiring mesti mengimbas QR kod MySejahtera yang disediakan di pintu masuk utama PMU.

“Mereka juga mesti memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan kampus,” tegasnya lagi.

Suara Sarawak