KUCHING: Dakwaan dua warga asing tular di TikTok bahawa mereka mampu melepasi pemeriksaan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pasport palsu adalah tidak benar kerana kedua-duanya menggunakan dokumen perjalanan yang sah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata semakan mendapati kedua-dua individu berkenaan masing-masing berasal dari Bosnia dan China serta dipercayai saling mengenali.
“Selepas semakan dilakukan, kita dapati mereka mempunyai pasport dan dokumen perjalanan yang sah. Ada dalam rekod kita bagaimana dan melalui pintu mana mereka masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani, JPPM di SK Dato Mohd Musa, di sini, hari ini.
Saifuddin menegaskan rakaman tular tersebut memberi gambaran mengelirukan kerana ia bukan dirakam di kaunter imigresen seperti didakwa.
“Saya hendak betulkan dahulu — video yang tular itu bukan di kaunter imigresen, sebaliknya kaunter pemeriksaan sebelum masuk ke pesawat. Anggota yang kelihatan ialah polis bantuan, bukan pegawai imigresen,” jelasnya.
Beliau menambah, tindakan individu berkenaan menyebarkan kandungan yang menggambarkan seolah-olah mereka mampu melepasi kawalan imigresen dengan mudah adalah tidak tepat.
“Disebabkan perkara itu disebarkan seolah-olah mereka boleh melepasi imigresen, kita buat semakan dengan kedutaan masing-masing dan ia menunjukkan dokumen mereka sah. Gambaran yang diberikan itu tidak tepat.
“Namun apa sekalipun, kita akan siasat motif mereka. Jika niat untuk memburukkan imej negara berkaitan keselamatan, tentu ada tindakan susulan.
“Ini bukan kali pertama kandungan sebegini — mudahnya melepasi sempadan negara — dibuat, kerana sebelum ini di Thailand pun dia buat perkara hampir sama,” tegasnya.
Terdahulu, tular rakaman memaparkan pemeriksaan pasport sebuah negara yang dipercayai dijalankan anggota keselamatan syarikat penerbangan terhadap warga asing.
Berdasarkan rakaman berkenaan, selepas beberapa minit semakan dan pemeriksaan dilakukan, warga asing terbabit dipercayai dibenarkan menaiki pesawat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam laporan berita bertarikh 26 November berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan video tular berkaitan pasport palsu yang didakwa melepasi pemeriksaan di Terminal 2 KLIA.
Menurutnya, pihaknya sedang mengenal pasti pemilik akaun TikTok terbabit dan tidak menolak kemungkinan memanggil anggota dipercayai petugas syarikat penerbangan berkenaan bagi membantu siasatan.
Imigresen, jelasnya, memandang serius dakwaan tersebut kerana boleh mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Zakaria turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan isu berkenaan supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.



