KUCHING: Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tanjong Lobang (TLC) menerima dana endowmen berjumlah RM5 juta sebagai pelaburan jangka panjang bagi menyokong inisiatif pendidikan, ilmiah dan pembangunan masyarakat secara mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana itu mampu menjadi sumber pendapatan yang mampan sekiranya diurus secara berhemat, sekali gus membolehkan alumni terus membantu pelajar serta menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, penubuhan dana endowmen itu akan terus memperkukuh usaha tersebut.
“Saya mencadangkan supaya alumni menubuhkan dana endowmen dan sekiranya diurus dengan baik serta dilaburkan secara berdisiplin, ia akan menghasilkan pulangan yang mampan.
“Saya menyumbangkan RM5 juta sebagai dana endowmen dan sekiranya anda menguruskannya dengan baik, insya-Allah dana itu akan kekal mampan.
“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada bekas pelajar dan persatuan alumni atas komitmen mereka dalam membantu generasi pelajar semasa dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertemuan Semula dan Kutipan Dana Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tanjong Lobang (TLC), di sini, malam tadi.
Berdasarkan pengalaman Sarawak dalam pengurusan pelaburan, katanya, pengurusan dana secara berdisiplin amat penting bagi memastikan kemampanan jangka panjang.
Beliau memberi contoh kejayaan penstrukturan semula Amanah Saham Sarawak (ASSAR) yang sebelum ini berdepan cabaran sebelum dipulihkan menerusi pengurusan kewangan berhemat.
“Kita menstruktur semula ASSAR dengan menggunakan strategi pelaburan berdisiplin, iaitu 70 peratus dana dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap seperti bon dan pelaburan stabil lain, manakala baki 30 peratus diperuntukkan kepada ekuiti.
“Hari ini, ASSAR telah pulih dengan baik,” tegasnya.
Mengulas lanjut, ujarnya, prinsip pelaburan yang sama boleh diterapkan dalam pengurusan dana endowmen Alumni TLC bagi memastikan dana itu terus menjana pulangan untuk tempoh yang panjang.
“Pulangan daripada dana ini bukan sahaja boleh digunakan untuk membantu pelajar, malah untuk menganjurkan forum akademik, syarahan umum dan perbincangan ilmiah yang melibatkan golongan profesional daripada pelbagai bidang,” ujarnya.
Beliau menambah, program itu membolehkan ahli ekonomi, akauntan, usahawan dan golongan profesional lain berkongsi ilmu serta memberikan perspektif baharu dalam mengurus masyarakat ketika ekonomi berkembang pesat.
“Dunia dan ekosistem ekonomi kini sudah berubah, dan forum seperti ini mampu menyediakan idea serta pengetahuan baharu untuk membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
“Pada masa sama, ia dapat memenuhi objektif alumni dalam menyumbang kepada masyarakat,” jelasnya.





