KUCHING: Projek menaik taraf Balai Raya Kampung Lubok Buan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 Fasa 2 siap sepenuhnya dengan kos RM100,000, sekali gus meningkatkan kemudahan buat komuniti penduduk di kampung berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, pelaksanaan fasa kedua projek tersebut dilakukan susulan maklum balas penduduk selepas kerja-kerja fasa pertama disiapkan sebelum ini.
“Penambahbaikan itu penting bagi memastikan balai raya dapat digunakan dengan lebih selesa dan selamat oleh penduduk setempat.
“Apabila keperluan tambahan dibangkitkan oleh kepimpinan kampung dan penduduk, kami segera bertindak bersama agensi berkaitan bagi memastikan kemudahan ini memenuhi keperluan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis penyerahan projek menaik taraf Balai Raya Kampung Lubok Buan di sini, baru-baru ini.
Projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), Ketua Kampung Michael Mada serta wakil kontraktor pelaksana, Azraki Resources.
Tambah beliau, kerja-kerja fasa kedua itu melibatkan penambahbaikan beberapa komponen utama termasuk sistem perparitan, bumbung, lantai serta kemudahan tandas.
“Penambahbaikan ini secara langsung meningkatkan tahap keselamatan, fungsi serta keselesaan balai raya untuk kegunaan harian,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR dan pihak kontraktor atas komitmen memastikan projek dilaksanakan mengikut skop, piawaian teknikal dan tempoh masa yang ditetapkan.
“Dengan siapnya projek ini, Balai Raya Kampung Lubok Buan kini dapat berfungsi secara optimum sebagai pusat komuniti.
“Ini termasuk penganjuran mesyuarat, aktiviti kemasyarakatan dan program kebudayaan, sekali gus mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk,” jelasnya.
Tegasnya, pendekatan pembangunan Kerajaan Sarawak yang berteraskan rakyat sentiasa memberi penekanan kepada keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
“Justeru, kerjasama rapat dengan agensi pelaksana dan kepimpinan kampung amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan di DUN Kota Sentosa dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan manfaat berpanjangan kepada rakyat,” katanya.


