SARATOK: Sebanyak RM170,000 peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka digunakan bagi menambah baik kemudahan di Hospital Saratok.
Menurut Mohamad Duri, ia bagi memberi keselesaan kepada warga hospital dan masyarakat yang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap keperluan semasa semua pihak.
“Hospital Saratok akan menerima satu projek RTP bernilai RM170,000 untuk menaik taraf jalan serta menambah kawasan parkir di Unit Hemodialis, Hospital Saratok,” katanya ketika merasmikan Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): Larian Mesra Hospital Saratok di sini, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad, di sini, semalam.
Jelasnya, usaha ini selari dengan hasrat untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sebagai langkah jangka panjang bagi menampung jumlah pesakit yang kian bertambah, Mohamad menyatakan komitmen untuk terus bersuara mendapatkan satu lagi fasiliti kesihatan serba lengkap di pekan ini.
Program anjuran Jawatankuasa Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP) Hospital Saratok berlangsung dengan meriah sempena Minggu Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan.
Acara dimulakan dengan taklimat keselamatan oleh Ketua Program, Dr. Muhammad Zulhusni, diikuti sesi senaman yang dipimpin oleh Unit Fisioterapi Hospital Saratok.
Majlis pelepasan peserta larian disempurnakan oleh Pengarah Hospital Saratok, Dr. Dayang Suhaila Abang Mohamed.
Antara pengisian lain ialah cabutan bertuah, pameran kesihatan, aktiviti jualan, dan kempen derma darah.



