KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 82 organisasi tempatan di kawasan Parlimen Kota Samarahan menerima suntikan dana berjumlah RM550,000 bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan komuniti di kawasan masing-masing.
Bantuan menerusi Geran Peruntukan Khas Ahli Parlimen itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Sarawak, di sini, semalam.
Penerima terdiri daripada pelbagai kumpulan dan pertubuhan tempatan termasuk kelab, persatuan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), yang dilihat sebagai pemacu utama kepada pelaksanaan inisiatif di peringkat akar umbi.
Dalam ucapannya, Rubiah berharap agar geran yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak untuk merancang dan menjalankan program yang memberi impak kepada kesejahteraan komuniti setempat.
“Pemberian geran ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat, khususnya organisasi tempatan yang memerlukan sokongan dana untuk melaksanakan program kemasyarakatan,” katanya.
Menurut beliau, penyerahan kali ini merupakan fasa keempat bagi tahun ini dan kerajaan terus komited menyokong peranan organisasi setempat dalam memperkukuh jaringan sosial dan pembangunan komuniti.





